Pages

Coretan Travelog Hidup Insan Biasa Dalam Meniti Kehidupan Di Dunia Yang Fana

Khamis, 25 Julai 2013

Tidak Lapuk Di Hujan, Tidak Lekang Dek Panas.

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم Travelogku kali ini berkisar pula kepada pembinaan pondok rehat yang berada di sebelah kanan rumahku. Pondok rehat ini merupakan ilham idea isteriku yang sejak dari dulu bercita-cita untuk mendapatkan pondok rehat seperti ini. Pada peringkat awal aku buat-buat tidak tahu saja apabila isteriku memberikan idea itu. Tetapi lama kelamaan aku pun mengalah dengan desakannya hendak membina pondok rehat seperti gambar di bawah ini.

Pandangan Sisi

Tiang untuk membina pondok ini aku dapat percuma saja kerana diberi oleh sahabatku yang membiarkan kayu-kayu yang elok ini tersadai di hadapan rumah ayahnya. Aku minta beli daripadanya tetapi alhamdulillah dia beri percuma saja sebab dia tidak mahu tiang-tiang itu. Tiang-tiang itu datang dari rumah lama dan tiang elektrik. Jadi dapatlah aku menjimatkan kos.

Tengoklah Tiang-Tiangnya
Oleh sebab aku kesibukan,  untuk pembinaan pondok ini aku hanya buatkan dasarnya dan memasang mozaik saja. Bagi bahagian-bahagian lain aku upah jiran aku yang membuatnya. Jiran aku ini pun tukang juga seperti aku jugalah yang buat kerja separuh masa. Pondok aku ini dihiasi dengan ukiran kayu supaya nampak klasik. Untuk papan ukiran kayu pada bahagian bawah itu aku dapatkan secara percuma daripada biras aku yang tinggal di Pendang. Jimat kos lagi, perlu pandai untuk selamatkan duit kita. 

Inilah Corak Bunga Pada Bahagian Bawah
Pada bahagian atas pula, corak bunganya lain pula supaya nampak ada variasi. Tengoklah gambar di bawah cantik tak ukiran bunga itu. Nampak seninya orang-orang Melayu. Pondok ini telah mendapat perhatian ramai orang yang berminat dengan ukiran kayu Melayu yang tinggi nilai estetikanya.


Ketinggian Nilai Estetika Melayu
Manakala pada bahagian bumbung pondok ini pula dihiasi dengan siling anyaman pokok bertam yang dibeli dari Batu Kurau. Di bumbung itu aku juga meletakkan sebuah kipas supaya dapat menyejukkan badan kita berehat pada waktu siang yang panas. 

Siling Bertam
Nampak klasik dan berestetika apabila menggabungkan ukiran kayu ini dengan siling bertam  itu. Jarang-jarang pada masa sekarang kita nampak kesenian Melayu itu di rumah-rumah moden sekarang. Aku harap kesenian ini tidak akan hilang ditelan zaman.

Sebuah Kipas Penyejuk Badan

Pondok rehat ini dibina bersambung dengan kolam air terjun yang aku ceritakan dulu. Jadi sambil berehat di bawah pondok yang klasik ini boleh menikmati keindahan dan kenyamanan kolam air terjun. Tenang fikiran dan lupa masalah kerja yang banyak. Untuk lebih nampak klasik isteriku telah membeli satu set bangku duduk kayu jati Indonesia. Cuba lihat gambar di bawah nampak klasikkan. 

Kerusi Kayu Jati
 Untuk nampak lebih klasik lagi, kayu berukiran bulat di atas yang diletakkan sebagai tiang tempat masuk dan keluar aku telah tempah dari Pendang. Tempahan itu semua dibuat oleh biras aku. Jadi dari bahagian atas sehinggalah ke bawah semuanya berukiran yang  menampakkan kesenian Melayu yang halus dan cantik. Kebanyakan tetamu yang datang ke rumah aku suka duduk santai di bawah pondok ini daripada masuk ke dalam rumahku. Begitulah hebatnya nilai kesenian Melayu.

Inilah Pondok Isteriku



1 komen:

Tanpa Nama berkata...

Cantiknya pondok ini!