بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم Travelogku kali ini ingin menceritakan tentang kolam dan air terjunku yag terletak di bahagian depan kanan rumahku. Aku membina air terjun ini untuk tujuan mendapat ketenangan dengan desiran air ketika rehat selepas penat bekerja. Sebenarnya bukan senang untuk mendapatkan idea untuk membina kolam dan air terjun yang bertingkat ini. Setelah beberapa lama melihat air terjun yang terdapat di dalam Majalah Laman dan Anjung Seri akhirnya barulah datang idea untuk membina kolam dan air terjun itu.
|
Pandangan Depan |
|
|
Peringkat awalnya, aku membina kolam air dengan keluasan yang sesuai dengan bahagian depan rumahku itu. Oleh sebab aku tidak pernah membina kolam bimbang juga kalau-kalau berlaku kebocoran. Maka aku pun berfikir bagaimana hendak memastikan dasar kolam itu kuat dan air tidak bocor. Fikir punya fikir maka aku membuat keputusan untuk membuat beberapa lapisan menggunakan simen pelekat dicampur dengan simen biasa. Mula-mula terfikir juga hendak meletakkan plastik sebab ada kawan-kawan yang memberikan pendapat begitu. Tetapi aku rasa tidak perlu kerana aku telah membuat tiga lapisan simen. Alhamdulillah sehingga kini lebih kurang tujuh tahun kolam aku masih elok dan tidak bocor.
|
Pandangan Tepi |
Setelah kolam siap barulah aku mula membuat binaan air terjun yang bertingkat-tingkat. Pada peringkat awalnya susah juga hendak fikir macam mana hendak buat bertingkat tanpa menggunakan tiang. Maksud aku binaan seperti yang nampak di atas hanya melekat kepada dinding rumah. Fikir punya fikir dapatlah idea menggunakan besi yang dibengkokkan seperti huruf L dan diletakkan dawai di atasnya. Ramai juga kawan aku yang bertanya bagaimana aku melekatkan batu-batu itu. Aku kata itu rahsia kalau hendak mesti bayar, he..he.
|
Tangki Pam dan Penapis Air |
Pada bahagian tepi kiri kolam aku buat tiga penakung air untuk meletakkan pam dan dua penapis air supaya air sentiasa bersih. Pada peringkat awal dulu aku hanya letakkan pam dalam kolam, tetapi nampak tidak cantik. Oleh sebab itu aku bina baru di bahagian tepi yang dapat dilihat dalam gambar di atas. Alhamdulillah sejak bina dulu aku tidak pernah cuci airnya sebab sentiasa bersih dan jernih. Lihatlah betapa jernihnya air sehingga nampak ikan-ikan yang sedang bermain-main.
|
Kelihatan Ikan Sedang Bermain-Main |
Aku buat kolam ini lebih kurang sebulan lebih sebab buat sikit-sikit apabila balik daripada kerja. Aku hanya boleh buat sepenuh masa pada hari Sabtu dan Ahad, itu pun kadang-kadang tidak boleh juga buat kerana buat urusan lain. Aku juga menghiasi kolam air terjun ini dengan pancutan air pada bahagian tepi sebelah kiri kolam aku. Itu pun bukan senang hendak buat pancutan air itu sebab perlukan kreativiti.
|
Pancutan Air |
Pam untuk menghasilkan pusingan air itu aku beli yang kecil sahaja tetapi tahan lasak, sudah tujuh tahun aku guna tapi masih tidak rosak. Harganya pun tidak mahal lebih kurang RM 60.00 saja. Aku beli yang kecil sebab aku hanya mahukan pusingan air berlaku dalam keadaan yang perlahan-lahan supaya mengeluarkan bunyi yang nyaman. Aku bina kolam air terjun ini di hadapan bilik tidur aku. Jadi pada waktu malam sebelum tidur aku dapat menikmati desiran air terjun dan pancutan air itu. Alangkah sungguh nyaman dan tenteramnya malam-malam aku. Anda bila lagi hendak mencuba buat kolam air terjun sendiri, kata pepatah Melayu 'kalau ada kemahuan di situ ada jalannya". Buat sendiri kos pun murah dan ikut kreativiti sendiri. Kalau hendak upah orang lain buat, silap-silap boleh cecah ribuan ringgit.
وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ
اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
0 komen:
Catat Ulasan