Pages

Coretan Travelog Hidup Insan Biasa Dalam Meniti Kehidupan Di Dunia Yang Fana

Khamis, 29 Ogos 2013

Muafakat Membawa Berkat

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم Travelogku kali ini berkisar kepada Sambutan Hari Raya Eidul Fitri Surau An-Najihin yang telah dilaksanakan pada hari Ahad bersamaan 25.8.2013/18 Syawal 1434. Sambutan hari raya ini merupakan tradisi yang diteruskan setiap tahun hasil daripada kerjsama dan pemuafakatan yang erat antara jamaah dan masyarakat sekitar. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana majlis sambutan tersebut telah dapat dijalankan dengan lancar dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat. Tujuan sambutan ini diadakan ialah untuk memakmurkan surau kami dengan aktiviti sosial di samping sembahyang berjemaah serta mengeratkan tali silaturrahim antara penduduk Taman Paduka Setia.

Tetamu sedang menjamu selera
Sambutan hari raya ini dapat mendekatkan penduduk-penduduk taman kami dengan surau terutama belia-belia dan kanak-kanak. Seperti yang kita sedia maklum bahawa surau atau masjid bukan sahaja menjadi tempat untuk bersembahyang, malah fungsinya begitu meluas sekali pada zaman Rasulullah saw.  Hal ini telah disebut menerusi hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah maksudnya: "Tidak berhimpun satu kaum dalam rumah daripada rumah-rumah Allah (masjid/surau), membaca kitab Allah (al-Quran) dan berdiskusi mengenainya sesama mereka, melainkan diturunkan ke atas mereka ketenangan, mereka diselubungi dengan rahmat Allah, dikelilingi dengan para Malaikat (menulis segala kebaikan mereka) dan Allah akan sentiasa mengingati mereka (kerana mereka juga mengingati-Nya)." Begitulah antara fungsi surau atau masjid serta sangat beruntunglah orang-orang yang memakmurkan surau atau masjid.

Antara juadah yang sedia terhidang
Terima kasih dan sekalung penghargaan kepada Cikgu Abd Rahim selaku pengerusi surau, Cikgu Din, Encik Abd Razak (Setiausaha),  Cikgu Sulaiman, Haji Shahabuddin, Haji Nawawi (penghulu), Encik Lutfi (Bendahari), Haji Elias dan Pak Samad yang menjadi tulang belakang dan penggerak utama kepada sambutan hari raya tersebut. Begitu juga dengan AJK dan jamaah surau yang lain yang telah memberikan kerjasama erat dalam menjayakan sambutan tersebut. Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang sentiasa ingin melakukan kebaikan sama ada untuk diri sendiri atau untuk orang lain.  Allah SWT menggalakkan kita berlumba mengerjakan kebaikan dengan tidak menetapkan nilai atau ukurannya seperti firman-Nya bermaksud: “Maka berlumbalah kamu (dalam membuat) kebaikan.” – (Surah al-Baqarah, ayat 148).
Sepakat menyediakan juadah
Semoga Allah memberikan ganjaran yang setimpal kepada sumbangan bakti yang diberikan dalam menjayakan sambutan ini. Terima kasih, segala budi dan semoga sumbangan tuan-tuan dan puan-puan akan diterima dan diberikan ganjaran oleh Allat SWT seperti yang difirmankan  dalam Surah Al-Baqarah  ayat 261: "Bandingan (derma atau nafkah) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah seumpama sebiji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai, setiap tangkai itu mengandungi 100 biji. Allah melipatkan pahala bagi siapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas( kurnianya ) lagi Maha Mengetahui". Berdasarkan kepada ayat di atas, satu amal kebajikan yang dilakukan oleh seorang hamba dengan syarat bahawa amalan itu sah dari sudut syara', mengikut syarat dan rukunnya, serta ikhlas kerana Allah s.w.t akan diberikan ganjaran  paling minima dengan 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda, malahan lebih daripada itu dengan izin Allah.

Jamaah sedang menyediakan makanan

Sambutan jamuan ini dijayakan oleh jemaah surau yang bekerjasama menyediakan juadah makanan sejak dari pagi sehinggalah pukul 2.00 petang. Terdapat juga jemaah yang bersusah payah memasak di rumah masing-masing bagi menjayakan majlis ini. Semoga apa yang disumbangkan itu disertai dengan niat yang  untuk beribadat kepada Allah swt. Niat adalah pembeza  antara adat dan ibadat. Nabi s.a.w telah bersabda: 
"Hanya sesungguhnya amalan itu dengan niat dan bagi setiap orang apa yang dia niat "  (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Penyediaan juadah lemang
Allah maha pemurah bagi hamba-hambanya yang ikhlas beribadat. Niat yang baik sahaja pun sudah ada ganjaran apatah lagi jika disusuli dengan amalan. Rasulullah s.a.w bersabda:"Niat seorang mukmin lebih baik daripada amalannya ". Maha Suci ALLAH, mudahnya untuk kita mendapat pahala.  Dengan hanya memasang niat untuk membuat perkara baik pun, sudah diberi pahala.  Apatah lagi jika niat yang baik itu direalisasikan maka berganda-ganda lagilah pahalanya.

Jamaah sibuk menyediakan juadah
Sekitar pukul 2.00 petang masyarakat sekitar mula datang membanjiri perkarangan surau untuk menikmati juadah yang disediakan. Juadah-juadah yang disediakan seperti lemang dan rendang, burger, mee goreng panas, ais krim, hot dog, mee kari dan lain-lain. Tetamu yang hadir menikmati juadah yang dihidangkan secara buffet.
 
Kanak-kanak juga turut serta meraikan majlis ini


Sambutan jamuan hari raya ini meriah dengan kehadiran ramai penduduk yang membawa anak-anak masing-masing. Senario ini menunjukkan bahawa surau An-Najihin ini bukanlah menjadi tempat yang asing kepada penduduk sekitar. Tambahan pula, banyak aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun untuk memakmurkan surau ini.


Muslimat sedang mengambil makanan

Kawasan surau An-Najihin yang luas membolehkan tetamu menjamu selera dalam keadaan yang santai di mana-mana saja bersama keluarga. Sambil menjamu selera dapatlah penduduk-penduduk yang hadir beramah-mesra untuk kenal mengenali antara satu sama lain.

Santai menjamu selera

Pihak surau juga telah menjemput ustaz dari kampung Boyan untuk memberikan tazkirah mengenai peristiwa yang berlaku di Mesir. Sambil menjamu selera dapatlah mendengar tazkirah yang disampaikan. Pada majlis ini juga dilancarkan kutipan derma untuk membantu rakyat Mesir yang dizalimi oleh tentera yang diterajui oleh Jeneral Abdul Fatah Al-sisi. Doa kita semoga pemeritahan jeneral laknatullah itu akan berakhir dengan segera.

Tazkirah peristiwa di Mesir
Selain itu, untuk memeriahkan lagi majlis sambutan hari raya itu juga diadakan cabutan nombor bertuah. Hamper-hamper telah disumbangkan oleh penduduk-penduduk yang bermurah hati. Lebih daripada 30 hamper telah disediakan. Terima kasih kepada penyumbang-penyumbang, semoga Allah akan melimpahkan rezeki kepada mereka yang bermurah hati. Majlis sambutan ini berakhir lebih kurang pukul 4.30 petang. Semoga Allah melanjutkan usia kita dalam kebajikan dan dapat berjumpa lagi dalam majlis yang sama pada tahun akan datang. Jazakalahu khairan  kepada yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan majlis sambutan hari raya pada kali ini. السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Isnin, 19 Ogos 2013

Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing

  بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم  Rasulullah SAW  pernah bersabda yang bermaksud, "Beritahulah kepada orang ramai akan nikah ini dengan pukulan gendang dan rebana". (riwayat Ibnu Majjah). Syukur alhamdulillah majlis walimatul 'arus adik bongsuku telah berlangsung dengan lancar tanpa menghadapi sebarang masalah. Sejak selepas hari raya kami adik beradik sibuk menguruskan persediaan majlis ini. Majlis kali ini seratus peratus diuruskan oleh kami sebab ayahanda sudah tidak sihat dan kami memintanya berehat dan tidak memikirkan tentang persediaan majlis ini. Kami merancang dengan teliti supaya majlis ini dapat dilaksanakan dengan baik serta tidak bertentangan dengan agama. Walau pun majlis tidak besar tapi dalam Islam mengadakan majlis walimah adalah sunat muakad seperti hadis  Rasulullah s.a.w  iaitu "Abdul Rahman bin Auf berkahwin, maka Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya: Hendaklah kamu mengadakan walimah walaupun dengan seekor kambing."

Tetamu menjamu selera

Pada petang 16.8.2013, majlis pernikahan telah diadakan di Masjid Simpang selepas sembahyang Asar. Majlis tersebut berjalan lancar dengan hanya sekali lafaz rasmilah adikku Norsuhaida Abd Rahman menjadi isteri kepada Muhamad Helmy Yusof.  Syukur, alhamdulillah.

Majlis akad nikah
Majlis pernikahan ini diadakan di masjid selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud; "Umumkanlah perkahwinan dan selenggarakanlah di masjid dan pukullah gendang dan rebana pada hari perkahwinan itu."(Riwayah Ahmad dan Tarmizi). Semoga pernikahan ini mendapat keberkatan dan keredhaan Allah apabila diadakan di rumah Allah yang mulia.

Membatalkan air sembahyang
Selesai majlis pernikahan, rombongan lelaki dibawa ke rumah adikku Abd Aziz untuk jamuan ringan bagi menghilangkan kehausan. Selepas itu, rombongan pengantin lelaki balik ke tempat penginapan (homestay) yang terletak berdekatan dengan rumahku. Kami telah mennyewa dua buah rumah untuk keselesaan rombongan dari Pulau Langkawi yang berjumlah lebih kurang 20 orang. Sebagai tetamu kami mesti melayan dengan baik seperti saranan Rasulullah s.a.w dengan sabdanya yang bermaksud; "Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah  memuliakan tetamu dengan memberi layanan kepadanya.  Sahabat bertanya; "Apakah layanan itu, wahai Rassulullah?" Rasulullah menjawab, "Layanan istimewa selama satu hari satu malam, dan tempoh layanan sebagai tetamu hendaklah dalam masa tiga hari, layanan yang diberikan selepas tempoh itu, dikira sebagai sedekah." Aku menempah makanan daripada sahabatku dan membawa kepada rombongan pengantin supaya mereka dapat berehat pada waktu malam tanpa memikirkan masalah mencari makanan.
Tahlil dan doa selamat

Manakala pada waktu malam itu, kami telah mengadakan majlis membaca tahlil dan mengadakan kenduri untuk semua  penduduk Kampung Jaha. Selesai sahaja menjamu selera, majlis khatam Al-Quran diadakan. Adikku Norsuhaida dan dua anak saudaranya iaitu Nisa Farzana dan Nazhanina Idyanie   serta ditemani ibuku terlibat dalam majlis khatam Al-Quran ini. Majlis ini dipimpin oleh Ustaz Abdullah dari Kg. Sg Mati.


Majlis Khatam Al-Quran

Selesai majlis tersebut, jamaah dari Kg. Sungai Mati dan Kg. Perak sama-sama mengadakan majlis marhaban. Majlis marhaban ini diketuai oleh Pak Mansur dari Kg. Perak. Majlis ini berakhir lebih kurang pukul 11.30 malam. Syukur Alhamdulillah, selesai sudah majlis tiga acara yang diadakan pada malam tersebut.

Majlis Marhaban
Pada keesokan harinya iaitu pada 17.8.2013 bermulalah majlis walimah di rumah kami. Para tetamu mula datang pada pukul 12.00 tengah hari. Ibu dan bapaku menanti di bawah payung besar di hadapan khemah untuk mengalu-alukan kehadiran para jemputan sambil memberi sedikit cenderahati. Kami adik beradik juga sibuk membantu melayan tetamu yang datang.

Ibu dan bapaku menanti tetamu jemputan
Tetamu dijamukan dengan nasi tomato dan nasi biasa dengan berlaukkan kari daging lembu, masak merah daging lembu, ayam goreng berempah, acal buah, dalca, dan buah-buahan. Tetamu paling ramai tiba antara pukul 12.30 petang hingga 1.30 petang sehingga terpaksa menunggu untuk mendapatkan tempat duduk. Lima khemah tetamu dan satu khemah pengantin yang disediakaan tidak mencukupi untuk menampung kehadiran tetamu pada ketika itu.

Tetamu sedang menjamu selera
Daging lembu diberikan oleh adikku Abd Aziz  untuk diaqiqah sempena kelahiran anaknya. Lembu ini dibeli di Beruas dengan harga RM2200. Aku dan adikku mengambil daging tersebut pada hari Jumaat dan diserahkan kepada tukang masak. Daging lembu ini lebih 100 kilogram. Kami menjemput lebih kurang 1500 orang ke majlis perkahwinan adikku ini.

Adik iparku turut sibuk melayan tetamu
Selain jamuan nasi, kami juga menyediakan laksa dan bubur jagung sekiranya jemputan yang hadir tidak mahu makan nasi. Manakala minuman, selain air sirap juga disediakan ais cendol dan teh tarik. Nampak meriah majlis perkahwinan adikku ini dan para tetamu mempunyai pilihan untuk menjamu selera.

Kiosk ais cendol
Ais cendol ini datangnya dari Simpang, manakala teh tarik telah dibuat oleh Pak Cik Ramli yang tinggal berdekatan dengan rumahku. Kami menyediakan serbuk tea tarik dan susu pekat dan susu cair lebih kurang 40 tin. Nampaknya ais cendol dan teh tarik mendapat perhatian daripada para jemputan. Ais cendol dan laksa awal-awal lagi sudah habis.

Kiosk teh tarik
Tepat pukul 1.40 petang tibalah pengantin lelaki selepas rombongan ini bersembahyang di surau kampungku. Aku dan adik-adikku sibuk menguruskan ketibaan mereka supaya sistematik dan tersusun. Anak-anak saudaraku mengiringi rombongan pengantin lelaki dengan bunga manggar.

Iringan bunga manggar oleh anak-anak saudaraku

Manakala isteriku dan adik beradiku yang lain  menyambut ketibaan mereka dengan taburan bunga rampai tanda mengalu-alukan kehadiran mereka. Nampak meriah setibanya rombongan pengantin lelaki diiringi dengan muzik paluan kompang.

Ketibaan pengantin
Adikku dibawa turun dari rumah untuk menyambut ketibaan suami dan rombongannya. Sahabat sekerjanya mengiringi adikku menyambut ketibaan pengantin lelaki. Para tetamu yang hadir turut mengambil peluang untuk melihat kedua-dua pengantin sambil menjamu selera.

Menyambut ketibaan rombongan lelaki
Setelah mencium tangan suaminya, mereka dibawa ke khemah pengantin untuk menjamu selera. Khemah ini disediakan khas untuk pengantin dan rombongannya dan dijamukan dengan menu yang spesial yang disediakan oleh pihak catering.

Menuju ke khemah pengantin untuk menjamu selera
Setelah bacaan doa yang dipimpin oleh adikku Burhan selesai,  pengantin dan rombongannya dipersilakan untuk menjamu selera yang disediakan. Manakala tetamu lain menjamu selera di khemah tetamu sambil melihat pengantin baru yang sedang makan.

Pengantin menjamu selera
Selesai saja majlis menjamu selera, kedua-dua pengantin dan rombongannya dibawa naik ke rumah ayah dan ibuku untuk makan kueh dan minum teh sambil bergambar bersama keluarga. Apacara persandingan tidak diadakan kerana bertentangan dengan Islam. Pelamin disediakan hanya untuk merakamkan gambar  kenang-kenangan antara pengantin dan keluarga sahaja.

Kenangan bersama abang, kakak dan ipar
Majlis perkahwinan adikku berakhir kira-kira pada jam 3.30 petang. Syukur alhamdulillah kerana majlis perkahwinan ini berlangsung dengan lancar tanpa menghadapi sebarang masalah. Manakala makanan yang disediakan mencukupi dan sedikit sahaja baki yang tinggal. Makanan yang lebih itu dapatlah diberi sedikit kepada jiran-jiran ibu bapaku.


Kengangan bersama anak-anak saudara

Alhamdulillah berkat kerjasama kami  adik beradik majlis ini dapat dilaksanakan dengan sempurna. Persefakatan nampak terserlah dengan sikap tolong-menolong kami adik beradik sekandung dan ipar-iparku serta pemakaian yang sedondon iaitu lelaki memakai pakaian berwarna hijau, manakala perempuan memakai pakaian merah.

Majlis memotong kek perkahwinan

Pada sebelah malam diadakan pula, majlis memotong kek perkahwinan. Kami sekeluarga berkumpul untuk memeriahkan lagi majlis tersebut. Setelah kek di potong semua yang hadir merasa seorang sedikit di samping memakan coklat yang dibawa dari Pulau Langkawi.

Makan kek dan coklat
Selepas itu diadakan pula acara membuka hadiah yang diberi oleh kami adik beradik dan para tetamu kepada kedua-dua pengantin. Banyak juga hadiah yang diberi terutamanya barangan elektrik. Tersenyum adikku dan suaminya kerana tidak perlu lagi membeli alat-alat elektrik tersebut apabila memulakan hidup bersama nanti.

Membuka hadiah
Majlis yang diadakan ini dapat mengeratkan lagi tali persaudaraan kami dan menjelmakan hubungan yang rapat antara kami adik beradik dan ipar-duai.  Sambil membuka hadiah riuh-rendah dengan usik-mengusik antara satu sama lain memeriahkan lagi majlis tersebut. Acara memotong kek dan membuka hadiah ini berakhir lebih kurang pukul 11.00 malam. Maka berakhirlah majlis perkahwinan adik bongsuku Norsuhaida dengan lancarnya. Sesungguhnya kelancaran majlis ini adalah hasil daripada kerjasama erat yang diberikan oleh kami adik beradik dan ipar-iparku dengan izin Allah swt. Ibarat kata pepatah Melayu "Berat sama-sama dipikul, ringan sama-sama dijinjing.", "Muafakat membawa berkat,". Terima kasih semua, semoga Allah memberkati kehidupan kita semua. Semoga kita bertemu semula untuk ke Langkawi pada bulan sebelas nanti.  Untuk adikku Norsuhaida, pesan kami jadilah isteri yang solehah dan selamat pengantin baru semoga berkekalan bahagia sehingga akhir hayat.

Sekeluarga berkumpul
 Wahai adikku, renung dan hayatilah pesan isteri ‘Auf Ibnu Mihlam Asy-Syaibani kepada puterinya untuk menjadi isteri yang solehah:-
1) Sentiasa menjadi pendamping suami, menerima segala kekurangan dan tidak membebankan suami.
2) Mendengar dan mentaati suami.
3) Memberi layanan baik kepada suami, pelihara anak dan menjaga rumah tangga.
4) Sentiasa tampil menarik dan wangi untuk suami.
5) Mampu mewujudkan hubungan intim yang baik dengan suami.
6) Menjaga makan minum suami dengan betul serta waktu tidur bagi mengelakkan emosi suami terganggu.
7) Sentiasa menjaga kebersihan diri dan tempat tinggal.
8) Amanah menjaga harta benda dalam rumah tangga.
9) Isteri tidak boleh membuka aib suami dan hal rumah tangga kepada orang lain.
10) Isteri kena jadi orang yang paling mengagungkan suami.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
Jadilah isteri yang solehah






Khamis, 15 Ogos 2013

Ketenangan Menjelma Di Dada Mu

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم  Travelogku terasa begitu pantas masa berlalu meninggalkan kita walaupun jauh di sudut hati masih terkenang memori rutin hidup semasa bulan Ramadhan al-mubarak. Itulah tanda bahawa umur dunia sudah kian hampir ke penghujung usia. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud; "Tidak berlaku kiamat sehingga jarak masa menjadi dekat. Setahun seperti sebulan, manakala sebulan seperti seminggu. Seminggu seperti satu hari. Sehari seperti satu jam. Satu jam seperti api yang membakar nyalaan."
 
Sedih berlalunya Ramdhan
Kini Syawal sudah pun tiba hari yang ke-8 dan warga kota sudah pun meninggalkan kampung untuk meneruskan kehidupan seharian. Tapi aku masih lagi cuti, namun sudah pun mula menyambung kerja-kerja yang menjadi kegemaran dan minatku. Selain aku meminati kerja-kerja pertukangan kayu, aku juga mempunyai kegemaran mengisi masa lapang dengan berkebun.

Kebun kelapa sawitku
Pada hari ini aku bersama-sama anakku mengisi masa lapang dengan menabur  baja pada pokok kelapa sawit yang terletak berhampiran dengan rumah ibu bapaku. Kali terakhir aku membaja kelapa sawit aku ialah pada 13.6.2013.

Membuka guni baja
Selepas makan tengah hari, kira-kira pukul 2.30 petang, aku bersama-sama anakku mula bergerak menuju ke kebunku dengan motorsikal. Aku dan anakku membawa baja-baja yang diletakkan di rumah ibu bapaku dengan menggunakan motorsikal.

Membaja kelapa sawit
Setiba di kebun, aku pun mula memulakan kerja-kerja membaja dengan bantuan anakku, Muhammad Najmi. Pada ketika itu, cuaca agak mendung kemungkinan hujan akan turun tidak lama lagi. Jadi aku terpaksa membaja dengan cepat dan berharap hujan tidak akan turun lagi.

Anakku membantu
Setelah lebih kurang sejam lebih, kerja-kerja membaja pun selesai. Syukur alhamdulillah sebab hujan masih belum turun. Aku harap hujan akan turun tidak lama lagi bagi membolehkan baja yang baru dibubuh akan meresap masuk ke dalam tanah. Namun aku harap hujan tidak terlalu lebat. Jika terlalu lebat baja yang baru ditabur akan dibawa masuk ke dalam parit, rugilah aku kerana harga baja bukannya murah.

Pondok di kebunku
Setelah semuanya disimpan di pondok burukku, kami pun mula bergerak pulang meninggalkan kebunku yang menjadi tempat aku melepaskan tekanan kerja harianku. Terasa aman dan tenang apabila berada di kebun. Alangkah seronoknya... السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Selasa, 13 Ogos 2013

Hidup Jangan Terlalu Mengharap Kepada Orang Lain.

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم  Entri Travelogku kali ini berkisar tentang pemasangan mozaik di bahagian yang ditebuk untuk dipasang wayar elektrik yang disambung ke pintu pagar utama. Pemasangan wayar elektrik itu bertujuan untuk pemasangan motor pagar elektrik pada masa akan datang.

Bahagian yang dipotong untuk pemasangan wayar elektrik
Bahagian yang dipotong ini telah beberapa minggu dalam keadaan seperti itu kerana bulan puasa menyebabkan aku tidak ada masa untuk memasangnya. Jadi, selepas bulan Ramadhan aku pun memasang mozaik pada bahagian ini, iaitu pada 6 Syawal.

Membancuh simen
Aku pun membancuh simen dalam timba dalam kuantiti yang sesuai sebelum memasang mozaik pada bahagian itu. Selepas itu aku membiarkan simen itu meresap dengan air beberapa ketika sebelum mozaik di pasang.
Mengukur mozaik untuk dipotong
Selepas itu aku pun mula mengukur mozaik yang hendak dipasang supaya sesuai dengan keluasan kawasan yang dipotong. Setelah ditanda dengan pensil, aku pun memotong mozaik dengan pemotong mozaik aku.

Memotong mozaik
Namun, kadang-kadang  selepas dipotong mozaik tersebut masih belum boleh dipasang kerana tidak muat dengan bahagain yang dipotong. Jadi aku terpaksa memotong sedikit lagi dengan menggunakan pemotong elektrik.

Memotong dengan pemotong elektrik
Kemudian aku pun mula memasang mozaik dengan meletakkan simen yang telah dibancuh di atas mozaik sebelum dilekatkan pada bahagian yang dipotong.

Simen diletakkan di atas mozaik

Pemasangan mozaik memerlukan kesabaran yang tinggi kerana perlu berhati-hati dan teliti supaya nampak cantik dan kemas. Jika tidak mozaik akan kelihatan tinggi rendah dan tidak sama.

Mozak dilekatkan pada bahagian yang dipotong
Selepas mozaik diletakkan pada bahagian yang dipotong, aku menggunakan penukul untuk mengetuk mozaik perlahan-lahan supaya sama rata. Kerja-kerja ini perlu dilakukan dengan penuh ketelitian supaya nampak kemas.

Mozaik diketuk dengan penukul
Namun, terdapat juga bahagian-bahagian yang dipotong  tidak sama dan menyukarkan pemsangan mozaik. Oleh itu, aku terpaksa memotong bahagian tersebut dengan mesin pemotong elektrik supaya memudahkan pemasangan mozaik.

Memotong bahagian yang tidak rata
Kerja-kerja pemasangan yang rumit inilah menyebabkan upah untuk memasang mozaik mahal. Selain itu, apa yang menjadi masalahnya sekiranya kerja-kerja tersebut sikit saja seperti di atas, sudah pasti tauke Cina tidak mahu datang sebab tidak berbaloi. Jadi kita perlulah jangan terlalu mengharapkan orang lain.

Perlukan ketelitian
Setelah bertungkus-lumus lebih kurang tiga jam maka siaplah pemasangan mozaik tersebut, tanpa memerlukan kos yang banyak. Mozaik itu aku guna lebihan yang aku simpan dulu. Jadi tidak perlulah aku beli lain. Manakala simen itu aku guna yang lebih dulu juga. Aku simpan baik-baik, jadi masih boleh digunakan lagi. Jadi janganlah terlalu mengharapkan orang lain, kalau sikit-sikit tu buatlah sendiri. Syukur alhamdulillah, jimat belanja aku. السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Bahagian yang telah siap dipasang