بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
Travelogku kali ini berkisar kepada Sambutan Hari Raya Eidul Fitri Surau An-Najihin yang telah dilaksanakan pada hari Ahad bersamaan 25.8.2013/18 Syawal 1434. Sambutan hari raya ini merupakan tradisi yang diteruskan setiap tahun hasil daripada kerjsama dan pemuafakatan yang erat antara jamaah dan masyarakat sekitar. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana majlis sambutan tersebut telah dapat dijalankan dengan lancar dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat. Tujuan sambutan ini diadakan ialah untuk memakmurkan surau kami dengan aktiviti sosial di samping sembahyang berjemaah serta mengeratkan tali silaturrahim antara penduduk Taman Paduka Setia.
|
Tetamu sedang menjamu selera |
Sambutan hari raya ini dapat mendekatkan penduduk-penduduk taman kami dengan surau terutama belia-belia dan kanak-kanak. Seperti yang kita sedia maklum bahawa surau atau masjid bukan sahaja menjadi tempat untuk bersembahyang, malah fungsinya begitu meluas sekali pada zaman Rasulullah saw. Hal ini telah disebut menerusi hadis
Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah
maksudnya: "Tidak berhimpun satu kaum dalam rumah daripada rumah-rumah
Allah (masjid/surau), membaca kitab Allah (al-Quran) dan berdiskusi
mengenainya sesama mereka, melainkan diturunkan ke atas mereka
ketenangan, mereka diselubungi dengan rahmat Allah, dikelilingi dengan
para Malaikat (menulis segala kebaikan mereka) dan Allah akan sentiasa
mengingati mereka (kerana mereka juga mengingati-Nya)." Begitulah antara fungsi surau atau masjid serta sangat beruntunglah orang-orang yang memakmurkan surau atau masjid.
|
Antara juadah yang sedia terhidang |
Terima kasih dan sekalung penghargaan kepada Cikgu Abd Rahim selaku pengerusi surau, Cikgu Din, Encik Abd Razak (Setiausaha), Cikgu Sulaiman, Haji Shahabuddin, Haji Nawawi (penghulu), Encik Lutfi (Bendahari), Haji Elias dan Pak Samad yang menjadi tulang belakang dan penggerak utama kepada sambutan hari raya tersebut. Begitu juga dengan AJK dan jamaah surau yang lain yang telah memberikan kerjasama erat dalam menjayakan sambutan tersebut. Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang sentiasa ingin melakukan kebaikan sama ada untuk diri sendiri atau untuk orang lain. Allah SWT menggalakkan kita berlumba mengerjakan kebaikan dengan tidak
menetapkan nilai atau ukurannya seperti firman-Nya bermaksud:
“Maka
berlumbalah kamu (dalam membuat) kebaikan.” – (Surah al-Baqarah, ayat
148).
|
Sepakat menyediakan juadah |
Semoga Allah memberikan ganjaran yang setimpal kepada sumbangan bakti yang diberikan dalam menjayakan sambutan ini. Terima kasih, segala budi dan semoga sumbangan tuan-tuan dan puan-puan akan
diterima dan diberikan ganjaran oleh Allat SWT seperti yang difirmankan
dalam Surah
Al-Baqarah ayat 261:
"Bandingan (derma atau
nafkah) orang-orang yang
membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah seumpama sebiji benih
yang
menumbuhkan tujuh batang tangkai, setiap tangkai itu mengandungi 100
biji. Allah melipatkan pahala bagi siapa yang dikehendakiNya dan Allah
Maha
Luas( kurnianya ) lagi Maha Mengetahui". Berdasarkan
kepada ayat di atas, satu amal kebajikan yang dilakukan oleh seorang hamba
dengan syarat bahawa amalan itu sah dari sudut syara', mengikut syarat dan
rukunnya, serta ikhlas kerana Allah s.w.t akan diberikan ganjaran paling minima dengan 10 kali ganda sehingga
700 kali ganda, malahan lebih daripada
itu dengan izin Allah.
|
Jamaah sedang menyediakan makanan
|
Sambutan jamuan ini dijayakan oleh jemaah surau yang bekerjasama menyediakan juadah makanan sejak dari pagi sehinggalah pukul 2.00 petang. Terdapat juga jemaah yang bersusah payah memasak di rumah masing-masing bagi menjayakan majlis ini. Semoga apa yang disumbangkan itu disertai dengan niat yang untuk beribadat kepada Allah swt. Niat adalah pembeza antara
adat dan ibadat. Nabi s.a.w telah bersabda:
"Hanya
sesungguhnya amalan itu dengan niat dan bagi setiap orang apa yang dia niat " (Riwayat Bukhari dan Muslim).
|
Penyediaan juadah lemang |
Allah maha pemurah bagi hamba-hambanya yang ikhlas beribadat. Niat yang baik sahaja pun
sudah ada ganjaran apatah lagi jika disusuli dengan amalan. Rasulullah s.a.w
bersabda:"Niat
seorang mukmin lebih baik daripada amalannya ". Maha Suci ALLAH, mudahnya untuk kita mendapat pahala.
Dengan hanya memasang niat untuk membuat perkara baik pun, sudah diberi
pahala. Apatah lagi jika niat yang baik itu direalisasikan maka berganda-ganda lagilah pahalanya.
|
Jamaah sibuk menyediakan juadah |
Sekitar pukul 2.00 petang masyarakat sekitar mula datang membanjiri perkarangan surau untuk menikmati juadah yang disediakan. Juadah-juadah yang disediakan seperti lemang dan rendang, burger, mee goreng panas, ais krim, hot dog, mee kari dan lain-lain. Tetamu yang hadir menikmati juadah yang dihidangkan secara buffet.
|
Kanak-kanak juga turut serta meraikan majlis ini
|
Sambutan jamuan hari raya ini meriah dengan kehadiran ramai penduduk yang membawa anak-anak masing-masing. Senario ini menunjukkan bahawa surau An-Najihin ini bukanlah menjadi tempat yang asing kepada penduduk sekitar. Tambahan pula, banyak aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun untuk memakmurkan surau ini.
|
Muslimat sedang mengambil makanan |
Kawasan surau An-Najihin yang luas membolehkan tetamu menjamu selera dalam keadaan yang santai di mana-mana saja bersama keluarga. Sambil menjamu selera dapatlah penduduk-penduduk yang hadir beramah-mesra untuk kenal mengenali antara satu sama lain.
|
Santai menjamu selera |
Pihak surau juga telah menjemput ustaz dari kampung Boyan untuk memberikan tazkirah mengenai peristiwa yang berlaku di Mesir. Sambil menjamu selera dapatlah mendengar tazkirah yang disampaikan. Pada majlis ini juga dilancarkan kutipan derma untuk membantu rakyat Mesir yang dizalimi oleh tentera yang diterajui oleh Jeneral Abdul Fatah Al-sisi. Doa kita semoga pemeritahan jeneral laknatullah itu akan berakhir dengan segera.
|
Tazkirah peristiwa di Mesir |
Selain itu, untuk memeriahkan lagi majlis sambutan hari raya itu juga diadakan cabutan nombor bertuah. Hamper-hamper telah disumbangkan oleh penduduk-penduduk yang bermurah hati. Lebih daripada 30 hamper telah disediakan. Terima kasih kepada penyumbang-penyumbang, semoga Allah akan melimpahkan rezeki kepada mereka yang bermurah hati. Majlis sambutan ini berakhir lebih kurang pukul 4.30 petang. Semoga Allah melanjutkan usia kita dalam kebajikan dan dapat berjumpa lagi dalam majlis yang sama pada tahun akan datang. Jazakalahu khairan kepada yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan majlis sambutan hari raya pada kali ini.
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ
اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
0 komen:
Catat Ulasan