Pages

Coretan Travelog Hidup Insan Biasa Dalam Meniti Kehidupan Di Dunia Yang Fana

Isnin, 19 Ogos 2013

Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing

  بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم  Rasulullah SAW  pernah bersabda yang bermaksud, "Beritahulah kepada orang ramai akan nikah ini dengan pukulan gendang dan rebana". (riwayat Ibnu Majjah). Syukur alhamdulillah majlis walimatul 'arus adik bongsuku telah berlangsung dengan lancar tanpa menghadapi sebarang masalah. Sejak selepas hari raya kami adik beradik sibuk menguruskan persediaan majlis ini. Majlis kali ini seratus peratus diuruskan oleh kami sebab ayahanda sudah tidak sihat dan kami memintanya berehat dan tidak memikirkan tentang persediaan majlis ini. Kami merancang dengan teliti supaya majlis ini dapat dilaksanakan dengan baik serta tidak bertentangan dengan agama. Walau pun majlis tidak besar tapi dalam Islam mengadakan majlis walimah adalah sunat muakad seperti hadis  Rasulullah s.a.w  iaitu "Abdul Rahman bin Auf berkahwin, maka Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya: Hendaklah kamu mengadakan walimah walaupun dengan seekor kambing."

Tetamu menjamu selera

Pada petang 16.8.2013, majlis pernikahan telah diadakan di Masjid Simpang selepas sembahyang Asar. Majlis tersebut berjalan lancar dengan hanya sekali lafaz rasmilah adikku Norsuhaida Abd Rahman menjadi isteri kepada Muhamad Helmy Yusof.  Syukur, alhamdulillah.

Majlis akad nikah
Majlis pernikahan ini diadakan di masjid selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud; "Umumkanlah perkahwinan dan selenggarakanlah di masjid dan pukullah gendang dan rebana pada hari perkahwinan itu."(Riwayah Ahmad dan Tarmizi). Semoga pernikahan ini mendapat keberkatan dan keredhaan Allah apabila diadakan di rumah Allah yang mulia.

Membatalkan air sembahyang
Selesai majlis pernikahan, rombongan lelaki dibawa ke rumah adikku Abd Aziz untuk jamuan ringan bagi menghilangkan kehausan. Selepas itu, rombongan pengantin lelaki balik ke tempat penginapan (homestay) yang terletak berdekatan dengan rumahku. Kami telah mennyewa dua buah rumah untuk keselesaan rombongan dari Pulau Langkawi yang berjumlah lebih kurang 20 orang. Sebagai tetamu kami mesti melayan dengan baik seperti saranan Rasulullah s.a.w dengan sabdanya yang bermaksud; "Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah  memuliakan tetamu dengan memberi layanan kepadanya.  Sahabat bertanya; "Apakah layanan itu, wahai Rassulullah?" Rasulullah menjawab, "Layanan istimewa selama satu hari satu malam, dan tempoh layanan sebagai tetamu hendaklah dalam masa tiga hari, layanan yang diberikan selepas tempoh itu, dikira sebagai sedekah." Aku menempah makanan daripada sahabatku dan membawa kepada rombongan pengantin supaya mereka dapat berehat pada waktu malam tanpa memikirkan masalah mencari makanan.
Tahlil dan doa selamat

Manakala pada waktu malam itu, kami telah mengadakan majlis membaca tahlil dan mengadakan kenduri untuk semua  penduduk Kampung Jaha. Selesai sahaja menjamu selera, majlis khatam Al-Quran diadakan. Adikku Norsuhaida dan dua anak saudaranya iaitu Nisa Farzana dan Nazhanina Idyanie   serta ditemani ibuku terlibat dalam majlis khatam Al-Quran ini. Majlis ini dipimpin oleh Ustaz Abdullah dari Kg. Sg Mati.


Majlis Khatam Al-Quran

Selesai majlis tersebut, jamaah dari Kg. Sungai Mati dan Kg. Perak sama-sama mengadakan majlis marhaban. Majlis marhaban ini diketuai oleh Pak Mansur dari Kg. Perak. Majlis ini berakhir lebih kurang pukul 11.30 malam. Syukur Alhamdulillah, selesai sudah majlis tiga acara yang diadakan pada malam tersebut.

Majlis Marhaban
Pada keesokan harinya iaitu pada 17.8.2013 bermulalah majlis walimah di rumah kami. Para tetamu mula datang pada pukul 12.00 tengah hari. Ibu dan bapaku menanti di bawah payung besar di hadapan khemah untuk mengalu-alukan kehadiran para jemputan sambil memberi sedikit cenderahati. Kami adik beradik juga sibuk membantu melayan tetamu yang datang.

Ibu dan bapaku menanti tetamu jemputan
Tetamu dijamukan dengan nasi tomato dan nasi biasa dengan berlaukkan kari daging lembu, masak merah daging lembu, ayam goreng berempah, acal buah, dalca, dan buah-buahan. Tetamu paling ramai tiba antara pukul 12.30 petang hingga 1.30 petang sehingga terpaksa menunggu untuk mendapatkan tempat duduk. Lima khemah tetamu dan satu khemah pengantin yang disediakaan tidak mencukupi untuk menampung kehadiran tetamu pada ketika itu.

Tetamu sedang menjamu selera
Daging lembu diberikan oleh adikku Abd Aziz  untuk diaqiqah sempena kelahiran anaknya. Lembu ini dibeli di Beruas dengan harga RM2200. Aku dan adikku mengambil daging tersebut pada hari Jumaat dan diserahkan kepada tukang masak. Daging lembu ini lebih 100 kilogram. Kami menjemput lebih kurang 1500 orang ke majlis perkahwinan adikku ini.

Adik iparku turut sibuk melayan tetamu
Selain jamuan nasi, kami juga menyediakan laksa dan bubur jagung sekiranya jemputan yang hadir tidak mahu makan nasi. Manakala minuman, selain air sirap juga disediakan ais cendol dan teh tarik. Nampak meriah majlis perkahwinan adikku ini dan para tetamu mempunyai pilihan untuk menjamu selera.

Kiosk ais cendol
Ais cendol ini datangnya dari Simpang, manakala teh tarik telah dibuat oleh Pak Cik Ramli yang tinggal berdekatan dengan rumahku. Kami menyediakan serbuk tea tarik dan susu pekat dan susu cair lebih kurang 40 tin. Nampaknya ais cendol dan teh tarik mendapat perhatian daripada para jemputan. Ais cendol dan laksa awal-awal lagi sudah habis.

Kiosk teh tarik
Tepat pukul 1.40 petang tibalah pengantin lelaki selepas rombongan ini bersembahyang di surau kampungku. Aku dan adik-adikku sibuk menguruskan ketibaan mereka supaya sistematik dan tersusun. Anak-anak saudaraku mengiringi rombongan pengantin lelaki dengan bunga manggar.

Iringan bunga manggar oleh anak-anak saudaraku

Manakala isteriku dan adik beradiku yang lain  menyambut ketibaan mereka dengan taburan bunga rampai tanda mengalu-alukan kehadiran mereka. Nampak meriah setibanya rombongan pengantin lelaki diiringi dengan muzik paluan kompang.

Ketibaan pengantin
Adikku dibawa turun dari rumah untuk menyambut ketibaan suami dan rombongannya. Sahabat sekerjanya mengiringi adikku menyambut ketibaan pengantin lelaki. Para tetamu yang hadir turut mengambil peluang untuk melihat kedua-dua pengantin sambil menjamu selera.

Menyambut ketibaan rombongan lelaki
Setelah mencium tangan suaminya, mereka dibawa ke khemah pengantin untuk menjamu selera. Khemah ini disediakan khas untuk pengantin dan rombongannya dan dijamukan dengan menu yang spesial yang disediakan oleh pihak catering.

Menuju ke khemah pengantin untuk menjamu selera
Setelah bacaan doa yang dipimpin oleh adikku Burhan selesai,  pengantin dan rombongannya dipersilakan untuk menjamu selera yang disediakan. Manakala tetamu lain menjamu selera di khemah tetamu sambil melihat pengantin baru yang sedang makan.

Pengantin menjamu selera
Selesai saja majlis menjamu selera, kedua-dua pengantin dan rombongannya dibawa naik ke rumah ayah dan ibuku untuk makan kueh dan minum teh sambil bergambar bersama keluarga. Apacara persandingan tidak diadakan kerana bertentangan dengan Islam. Pelamin disediakan hanya untuk merakamkan gambar  kenang-kenangan antara pengantin dan keluarga sahaja.

Kenangan bersama abang, kakak dan ipar
Majlis perkahwinan adikku berakhir kira-kira pada jam 3.30 petang. Syukur alhamdulillah kerana majlis perkahwinan ini berlangsung dengan lancar tanpa menghadapi sebarang masalah. Manakala makanan yang disediakan mencukupi dan sedikit sahaja baki yang tinggal. Makanan yang lebih itu dapatlah diberi sedikit kepada jiran-jiran ibu bapaku.


Kengangan bersama anak-anak saudara

Alhamdulillah berkat kerjasama kami  adik beradik majlis ini dapat dilaksanakan dengan sempurna. Persefakatan nampak terserlah dengan sikap tolong-menolong kami adik beradik sekandung dan ipar-iparku serta pemakaian yang sedondon iaitu lelaki memakai pakaian berwarna hijau, manakala perempuan memakai pakaian merah.

Majlis memotong kek perkahwinan

Pada sebelah malam diadakan pula, majlis memotong kek perkahwinan. Kami sekeluarga berkumpul untuk memeriahkan lagi majlis tersebut. Setelah kek di potong semua yang hadir merasa seorang sedikit di samping memakan coklat yang dibawa dari Pulau Langkawi.

Makan kek dan coklat
Selepas itu diadakan pula acara membuka hadiah yang diberi oleh kami adik beradik dan para tetamu kepada kedua-dua pengantin. Banyak juga hadiah yang diberi terutamanya barangan elektrik. Tersenyum adikku dan suaminya kerana tidak perlu lagi membeli alat-alat elektrik tersebut apabila memulakan hidup bersama nanti.

Membuka hadiah
Majlis yang diadakan ini dapat mengeratkan lagi tali persaudaraan kami dan menjelmakan hubungan yang rapat antara kami adik beradik dan ipar-duai.  Sambil membuka hadiah riuh-rendah dengan usik-mengusik antara satu sama lain memeriahkan lagi majlis tersebut. Acara memotong kek dan membuka hadiah ini berakhir lebih kurang pukul 11.00 malam. Maka berakhirlah majlis perkahwinan adik bongsuku Norsuhaida dengan lancarnya. Sesungguhnya kelancaran majlis ini adalah hasil daripada kerjasama erat yang diberikan oleh kami adik beradik dan ipar-iparku dengan izin Allah swt. Ibarat kata pepatah Melayu "Berat sama-sama dipikul, ringan sama-sama dijinjing.", "Muafakat membawa berkat,". Terima kasih semua, semoga Allah memberkati kehidupan kita semua. Semoga kita bertemu semula untuk ke Langkawi pada bulan sebelas nanti.  Untuk adikku Norsuhaida, pesan kami jadilah isteri yang solehah dan selamat pengantin baru semoga berkekalan bahagia sehingga akhir hayat.

Sekeluarga berkumpul
 Wahai adikku, renung dan hayatilah pesan isteri ‘Auf Ibnu Mihlam Asy-Syaibani kepada puterinya untuk menjadi isteri yang solehah:-
1) Sentiasa menjadi pendamping suami, menerima segala kekurangan dan tidak membebankan suami.
2) Mendengar dan mentaati suami.
3) Memberi layanan baik kepada suami, pelihara anak dan menjaga rumah tangga.
4) Sentiasa tampil menarik dan wangi untuk suami.
5) Mampu mewujudkan hubungan intim yang baik dengan suami.
6) Menjaga makan minum suami dengan betul serta waktu tidur bagi mengelakkan emosi suami terganggu.
7) Sentiasa menjaga kebersihan diri dan tempat tinggal.
8) Amanah menjaga harta benda dalam rumah tangga.
9) Isteri tidak boleh membuka aib suami dan hal rumah tangga kepada orang lain.
10) Isteri kena jadi orang yang paling mengagungkan suami.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
Jadilah isteri yang solehah






0 komen: