Pages

Coretan Travelog Hidup Insan Biasa Dalam Meniti Kehidupan Di Dunia Yang Fana

Rabu, 11 September 2013

Apabila Islam Tidak Lagi Dipedulikan

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم  Syukur alhamdulillah kerana Allah masih lagi memberikan peluang kepadaku untuk mencoretkan sesuatu dalam Travelogku ini. Entri kali ini akan berkisar tentang khutbah Jumaat di Masjid At-Taqwa Taman Brown/Tun Sardon yang disampaikan oleh Dr. Asri bin Zainal Abidin, bekas mufti Perlis pada suatu ketika dulu. Aku begitu teruja untuk mendengar khutbahnya kerana belum pernah bersua muka dengan beliau, selain itu banyak kontroversi yang ditimbulkan oleh Dr. Asri tentang beberapa isu sebelum ini.
Dr Asri Zainal Abidin
Khutbah beliau dimulakan dengan penjelasan tentang agama Islam yang membawa cahaya keadilan  kepada semua manusia, malah juga kepada semua makhluk yang berada di atas muka bumi ini.  Kitab suci Al-Quran mengandungi panduan hidup tentang kesejahteraan hidup di dunia mahupun di hari Akhirat. Sebahagian daripada intipati ajaran Islam adalah tentang kesejahteraan, keamanan, ketenteraman dan keselamatan. Manusia hanya boleh selamat daripada belenggu kerisauan apabila wujudnya kesejahteraan dan keadilan. Syariat Islam yang diterjemahkan melalui sumber Al-Quran, Sunah dan ‘Ijma ulama bertujuan untuk mewujudkan asas-asas keselamatan berlandaskan keadilan dan kesejahteraan. Oleh sebab itulah Syariah wajib dilaksanakan bagi memenuhi keperluan asas keselamatan manusia dengan menjaga lima perkara utama iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.


Al-Quran membawa cahaya kebenaran untuk semua manusia
Keadilan secara umum bermaksud "meletakkan sesuatu itu sesuai pada tempat dan keadaannya". Ibn Qayyim apabila mentafsirkan Surah al-Hadid ayat ke-25 berkaitan keadilan menegaskan bahawa ‘keadilan adalah matlamat utama Islam". 
"Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka Al Kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan. Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai-bagai manfaat bagi manusia, (supaya mereka mempergunakan besi itu) dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)Nya dan rasul-rasul-Nya padahal Allah tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.


Allah mengutuskan para Nabi dan Rasul untuk menegakkan keadilan. Sebarang langkah ke arah menegakkan keadilan merupakan sebahagian tuntutan agama. Melaksanakan keadilan dan menghapuskan kezaliman adalah antara falsafah sistem perundangan  Islam. Inilah garis panduan yang ditetapkan oleh Allah seperti disebut menerusi firman-Nya yang bermaksud:   
"Wahai orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah biarpun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa) kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada kedua-duanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng daripada keadilan. Dan jika kamu memutarbelitkan keterangan atau enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam apa yang kamu lakukan." (Surah an-Nisaa', ayat 135).

Islam itu adil untuk semua
Ayat-ayat Allah yang mengandungi sesuatu perintah atau suruhan tidak memilih manusia dari segi keturunan, status, darjat atau jantina. Islam melayan semua manusia dengan adil dan saksama, tidak mengira sama  ada manusia itu perdana menteri, menteri atau rakyat biasa. Bagi Allah manusia yang mulia di sisinya hanya orang-orang yang bertakwa.  Firman Allah SWT yang bermaksud: “…Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu…” (al-Hujurat: 13)

Kenaikan harga petrol dan diesel
Dalam hubungan dengan kenaikan harga minyak, Ustaz Dr Asri menjelaskan bahawa itu merupakan urusan ekonomi yang boleh diberikan pelbagai alasan terhadap kenaikan harga itu. Namun realitinya, adakah itu merupakan langkah yang terbaik dan tidak ada langkah-langkah lain lagi yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi masalah ekonomi?. Adakah langkah meletakkan beban penyelesaian kepada rakyat ini merupakan langkah yang terbaik?. Sudahkah langkah penghapusan rasuah telah dilaksanakan dengan berkesan? Sudahkah amalan-amalan  pembaziran wang negara oleh pemerintah telah dihentikan?. Sudahkah menteri-menteri tidak lagi melakukan  pemborosan?. Adakah Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya" (Surah al-Isra', ayat 27), hanya diperintahkan kepada rakyat biasa dan tidak terkena terhadap pemerintah?.


Sehubungan itu, Dr. Mazi juga telah menceritakan kisah yang berlaku terhadap Imam Nawawi pada zaman pemerintahan Sultan Al-Malik Al-Zahir.  Menurut riwayat, Sultan Al-Malik Al-Zahir telah  mengadakan persiapan perang untuk memerangi orang-orang Tatar (Monggol) lalu  digunakanlah fatwa ulama yang mengharuskan mengambil harta rakyat untuk kepentingan  perang melawan musuh.

 
 
Keseluruhan ulama fiqh negeri Syam telah menulis menyokong fatwa tersebut, namun  baginda belum berasa senang hati kerana Imam Nawawi belum memberikan fatwanya. Baginda menjemput Imam Nawawi ke istana untuk mendengar sendiri pandangan beliau.  Walaupun menerima jemputan sultan, tanpa diduga Imam Nawawi menolak untuk menyokong  fatwa itu. Malah dengan berani beliau memberikan alasan penolakannya itu."Aku mengetahui bahawa kamu (Sultan Al-Malik Al-Zahir) dahulunya seorang hamba  tawanan dan tidak mempunyai sebarang harta benda. Tetapi dengan pertolongan Allah  kamu telah menjadi seorang raja. Aku mendengar bahawa kamu ada memiliki seribu orang  hamba, tiap seorang memakai tali pinggang emas. Manakala 200 orang khadam wanita  milik kamu masing-masing mempunyai barang-barang perhiasan yang bernilai. Andai kata kamu membelanjakan kesemua itu untuk keperluan perang sehingga mereka  tidak lagi mempunyai barang-barang itu, maka aku bersedia memberikan fatwa untuk  membenarkan kamu mengambil harta rakyat."
Kesimpulannya, Imam Nawawi berfatwa tidak membenar Sultan Al-Malik Al-Zahir mengambil harta rakyat  selama kekayaannya sendiri masih dapat digunakan untuk sesuatu tujuan. Adakah keputusan kerajaan ini bersesuaian dengan fatwa ulamak besar ini?. Fikirlah sendiri sebagai manusia yang rasional yang menggunakan akal fikiran yang waras. Mengapakah subsidi kepada rakyat ditarik balik,  manakala pembaziran dalam kalangan menteri-menteri masih berterusan?.



Akhirnya, khutbah beliau diakhiri dengan membawa kisah yang berlaku terhadap Panglima tentera Islam yang dihantar oleh Khalifah umar al-Khatab ke Parsi iaitu Rubai bin Amir. Beliau telah  ditanya oleh Rustam iaitu Raja Parsi apakah yang menyebabkan tentera Islam datang untuk menakluk Parsi.  Maka Rubai menjawab dengan penuh keyakinan  iaitu:
"Kami adalah kaum yang diutuskan Allah untuk mengeluarkan sesiapa yang berkehendak daripada penyembahan terhadap hamba kepada Tuhan yang Esa dan mengeluarkan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat serta mengeluarkan mereka dari kezaliman agama-agama lain kepada cahaya keadilan Islam." 
Sepatutnya, kedatangan Islam merupakan cahaya kepada manusia khususnya rakyat Malaysia yang kononnya dicanang-canang diperintah dengan sistem Islam. Tapi apa yang terjadi keindahan Islam itu tidak terjelma lantaran penolakan terhadap sistem kehidupan Islam yang sebenarnya. Akibatnya rakyat hidup menderita, manakala orang-orang yang berkuasa terus membolot kekayaan negara. Begitulah nasib kehidupan manusia apabila Islam tidak lagi dipedulikan.


Makluman. 
Penulis memohon kemaafan daripada Dr Asri sekiranya terdapat sedikit sebanyak perubahan isi khutbah ini, namun penulis sedaya upaya cuba  mengekalkan maksud penyampaian khutbah ini.
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 

1 komen:

Tanpa Nama berkata...

BBBB