Pages

Coretan Travelog Hidup Insan Biasa Dalam Meniti Kehidupan Di Dunia Yang Fana

Ahad, 11 Ogos 2013

Sentuhan Dalaman, Cernaan Seni Melayu

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم Trevelogku pada kali ini ingin menyentuh tentang hiasan gerbang yang dibuat pada bahagian dalaman rumahku. Aku mengambil masa lebih kurang dua minggu untuk menyiapkan gerbang ini. Sebanyak 11 keping ukiran kayu aku buat untuk memenuhkan ruangan  ini.

Gerbang dalaman
Aku membuat hiasan gerbang ini dengan tujuan untuk menutup ruangan yang terlalu lapang dan kelihatan tidak cantik. Ruangan yang lapang ini membolehkan tetamu yang datang dapat melihat terus  bahagian dapurku daripada ruang tamu. Oleh itu, aku terfikir untuk membuat sentuhan ukiran kayu di bahagian lapang ini supaya nampak indah dan menarik.

Ruangan lapang sebelum memasang gerbang
Aku menggunakan tiang 4X4 inci lebar dan  tingginya lapan kaki. Proses untuk menebuk lubang dan memotong kayu cengal ini agak sukar kerana keras dan memerlukan kesabaran yang tinggi.

Gerbang bertiangkan cengal
Manakala ukiran bunga itu aku lakarkan berdasarkan idea sendiri. Lakaran dibuat di atas kertas keras bagi membolehkan dilukis di atas papan.

Lakaran bunga di atas kertas keras
 Proses pemasangan juga agak rumit kerana tiang sangat berat dan aku meminta pertolongan isteri dan anakku untuk menaikkan tiang-tiang tersebut. Bagi mengukuhkan kedudukan gerbang ini aku menggunakan plat besi yang dipalam di dinding rumah. 

Hiasan Gerbangku
Sebenarnya proses menghias bahagian ini masih belum selesai lagi kerana terdapat satu lagi ruangan lapang yang belum lagi dibuat gerbang seperti ini. InsyaAllah, aku akan buat juga hiasan gerbang seperti ini di bahagian itu nanti. Walau bagaimana pun, setakat ini aku bersyukur dapat menyiapkan hiasan gerbang ini walau pun mengambil masa yang agak lama. Lihatlah sentuhan dalamanku ini, terjelma seni Melayu lama.  وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Sabtu, 10 Ogos 2013

Melengkapkan Ruangan Yang Terbuka

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم Travelogku pada kali ini ingin berkongsi pengalaman membuat ukiran kayu untuk dipasang di bahagian beranda di tepi rumahku. Aku melihat beranda ini terlalu terbuka dan terfikir untuk membuat dindingnya dengan menggunakan ukiran kayu.

Dinding ukiran kayu
Jadi untuk memenuhkan ruang tersebut lebih kurang 16 keping papan ukiran kayu perlu dibuat. Aku menggunakan papan yang mempunyai ketebalan 1 inci dan panjang 3 kaki.  Aku telah melayari internet untuk mendapatkan corak bunga yang sesuai.

Corak yang telah dibuat atas kertas keras

Kerja-kerja membuat ukiran kayu ini agak sukar kerana papannya tebal. Namun itu bukanlah masalah bagi aku yang penting kalau mahu semua boleh lakukan dengan izin Allah.

Bahagian yang sudah siap dipasang
Setelah siap dipasang barulah terjelma keindahan dan kecantikan kesenian Melayu pada bahagian ini yang kadang-kadang menjadi tempat aku dan isteri berehat sambil berbual-bual. Aku juga meletakkan sebuah kerusi rehat di sini.

Di sinilah aku berehat
Namun begitu, bahagian ini masih lagi belum lengkap kerana aku ingin membuat sebuah pintu berukiran kayu. Tapi aku terpaksan menangguhkannya terlebih dahulu kerana kekangan masa untuk membuatnya. InsyaAllah, aku bertekad untuk membuatnya pada satu masa nanti. Apabila siap nanti aku akan tunjukkan nanti. Apa yang penting kalau ada kemahuan di situ ada jalannya. وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Jumaat, 9 Ogos 2013

Halusnya Kesenian Melayu

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم Travelogku meneruskan bicara pada kali ini dengan berkogsi pengalaman membuat pagar rumah dengan menggunakan kayu cengal lama. Aku memang berminat melihat rumah Melayu yang berukiran kayu yang jelas mencernakan nilai estetika orang-orang Melayu lama. Justeru, aku bertekad untuk membuat pagar kayu yang akan aku ukir sendiri.


Pagar Bunga Kayu
Peringkat awal aku bertanya dengan jiranku tempat aku boleh mendapatkan kayu cengal lama. Aku diberitahu terdapat satu tempat di Kota Wira, Jalan Batu Kurau yang menjual kayu lama. Aku pun pergi mencari dan setelah bertanya orang barulah aku menemui kedai kayu lama yang dipunyai oleh seorang India tua. Setelah aku menerang kepadanya tujuan aku datang dia bersetuju untuk membelah tiang kayu cengal menjadi papan berukiran 3.6 kaki panjang dan  5 inci lebar.

Kayu cengal
Selepas aku membeli kayu terfikir pula corak bunga yang hendak aku buat. Jadi ketika waktu rehat bekerja aku melayari internet untuk melihat contoh-contoh ukiran kayu yang telah dibuat oleh orang lain. Akhirnya aku pun menemui corak yang telah aku ubahsuai sedikit mengikut kemahuan aku. Setelah itu aku melukis corak tersebut di atas kertas tebal dan menebuknya untuk dijadikan acuan. Kertas acuan ini aku gunakan untuk melukis di atas kayu  sebelum aku menebuk untuk membuat bunga.

Ukiran bunga atas kertas
Aku membeli sebuah mesin jigsaw untuk membuat ukiran bunga tersebut. Aku juga meminjam sebuah mesin jigsaw daripada jiranku. Aku juga telah mempunyai mesin 'drill' yang diperlukan untuk membuat lubang di atas papan untuk membolehkan mata 'jigsaw' digunakan untuk membentuk ukiran bunga.

Pagar depan rumah
Mula-mula aku membuat bunga untuk dipasang di bahagian depan rumahku. Sebanyak 44 keping bunga telah aku buat daripada papan kayu cengal. Aku menggunakan kayu 2x2 inci untuk membuat 'frame' bagi meletakkan papan ukiran kayuku. Pemasangan bahagian ini sangat rumit kerana kesukaran untuk menebuk lubang supaya selari di atas 'frame'.

Kedua-dua bahagian pagar depan
Kesabaran dan ketelitian yang tinggi diperlukan untuk menghasilkan pagar yang kemas dan cantik. Namun, semua masalah itu tidak membuatkan aku rasa bosan, sebaliknya menjadi cabaran kepada aku untuk menyiapkan pagar tersebut.

Pagar kecil sebelah kanan rumah
Setelah siap di bahagian depan, aku mula memasang papan ukiran kayu di pagar kecil bahagian depan rumahku. Sebanyak 12 keping ukiran kayu digunakan untuk memenuhkan bahagian tersebut.
Pagar utama depan
Akhirnya, aku mula memasang pagar utama bahagian depan yang paling banyak menggunakan ukiran kayu. Sebanyak 35 keping ukiran kayu yang panjangnya 31/2 kaki dipasang pada 'frame' besi tempawan yang aku tempah daripada kawanku. Bahagian yang paling sukar untuk dibuat ialah untuk menebuk besi tempawan tersebut yang sangat keras dan memerlukan masa yang agak lama.


Inilah pagar utama rumahku
Sebenarnya untuk menghasilkan ukiran kayu seperti di atas aku terpaksa melakukan beberapa peringkat kerja seperti melukis bunga atas kertas tebal, memotong untuk membuat acuan melukis, melukis di atas papan, menebuk dan mengukir dengan menggunakan mesin 'jigsaw' dan melicinkan permukaan bunga dengan 'sander'. Untuk menghasilkan bunga yang licin dan nampak berkilat aku menyapu ukiran bunga itu dengan 'solar screen' mahagony sebanyak tiga kali.

Solar screen
Setelah bertungkus-lumus selama lebih kurang dua bulan, maka siaplah pagar rumahku yang dihiasi dengan seni ukiran Melayu lama. Aku berasa cukup puas dan gembira kerana keinginanku untuk membuat pagar seperti itu tercapai. Selain itu, apa yang lebih penting aku dapat pagar yang aku idam-idamkan dengan kos yang rendah berbanding dengan orang lain yang mengupah tukang kayu terpaksa membelanjakan ribuan ringgit. Alhamdulillah. Tercerna keindahan dan kehalusan seni ukiran orang-orang Melayu di rumahku.         وَ  السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
























Hari Kemenangan, Kembali Kepada Fitrah

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم Hadirmu Syawal, pergimu Ramadhan Al-Mubarak, hatiku berasa sedih bercampur kegembiraan. Pagi-pagi lagi aku sudah bangun dan mengejutkan isteri dan anak-anakku untuk membuat persiapan menyambut hari raya eidul fitri. Setelah berpakaian cantik aku, isteri dan anak-anak bergerak untuk bersembahyang hari raya di surau tamanku pada pukul 9.00 pagi. Lebih kurang pukul 11.00 pagi kami semua pulang semula ke rumah ibu bapaku untuk bersalam-salaman dan bermaaf-maafan terutama dengan ibu dan bapaku. Pada tahun ini seramai empat keluarga saja beraya bersama-sama di rumah ibu bapaku. Manakala empat abang dan adikku yang lain beraya di rumah mentua mereka. Pada tahun hadapan giliran mereka pula beraya di rumah ibu bapaku manakala aku akan beraya pula di rumah mentuaku.

Ayah dan ibu tersayang
Kami semua memohon kemaafan daripada kedua ibu bapa yang sangat kami sayangi. Sebagai anak sudah pasti banyak kesalahan dan kesilapan yang dilakukan oleh kami semua secara disedari atau tidak disedari. Bagi kami yang masih mempunyai kedua ibu bapa, inilah saat paling gembira merayakan eidul fitri.

Kemaafanmu dipohon
Selepas selesai memohon kemaafan daripada kedua ibu bapa, kami sekeluarga berpeluk-pelukan masing-masing memohon kemaafan sekiranya ada kesalahan dan kesilapan antara adik-beradik.

Erat berpeluk-pelukan memohon maaf
Begitu juga dengan anak-anak dan saudara yang lain masing-masing gembira bertemu dan maaf-bermaafan. Alangkah gembira dan eratnya perhubungan.

Dalam kegembiraan berpeluk-pelukan
Selepas itu, seperti biasa tibalah masa memberikan duit raya kepada anak-anak dan anak saudara. Saat-saat inilah yang ditunggu oleh anak-anak. Begitulah lumrah kehidupan kanak-kanak.

Mana duit raya?
Selepas mendapat duit raya, tersenyum kegembiraan. Setahun sekali, inilah masa untuk mengumpul pulus untuk membeli handphone baru atau untuk 'top-up'. Inilah lumrah kehidupan anak-anak zaman globalisasi, berbeza dengan zaman aku dulu.

Seronoklah tu, dapat duit raya
Setelah selesai bermaaf-maafan dan memberi duit raya, tibalah masanya untuk kami sekeluarga bergambar beramai-ramai untuk kenang-kenangan. Anakku yang memang mahir menggunakan kamera mula membuat persiapan untuk merakamkan memori ini.

Kenangan ayah dan ibu bersama anakanda
Bergambar secara beramai-ramai ini memang sukar dibuat kerana masing-masing sibuk dengan kerja dan sukar untuk bertemu semua. Jadi inilah peluang yang ada apabila dapat berkumpul bersama-sama.

Kenanga ayah dan ibu bersama menantu
Walaupun tahun ini keluarga kami tidak dapat berkumpul semua kerana ada yang beraya bersama mentua, tapi suasana sambutan masih meriah dan penuh kesyukuran.

Kenangan bersama cucu
Syukur kepada Alalh SWT kerana ibu dan ayahku masih ada dan rumah di kampungku menjadi tempat pertemuan kami semua semasa berhari raya. Cuma aku dan isteri agak sedih sikit kerana anak sulungku, Kak Yong terpaksa beraya di perantauan demi memburu cita-citanya. Kami semua merinduimu wahai anakku, semoga bergembira menyambut hari lebaran di tempat orang. Doa kami semoga Kak Yong berjaya mencapai cita-cita, InsyaAllah.

Kenangan bersama semua
Setelah selesai bergambar,  kami semua mula menuju ke rumah saudara dan jiran untuk berhari raya sehingga ke petang. Pada waktu malam kami sekeluarga berehat di rumah sambil berbual-bual apabila sesekali bertemu. وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
























Pergimu DiTangisi, Hadirmu Dinantikan

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم Salam Ramadhan Al-Mubarak, hari ini 29 Syawal 1435 Hijrah merupakan hari terakhir kita berpuasa. Terasa begitu cepat detik masa berlalu meninggalkan kita. Aku teringat kata-kata seorang ustaz yang mengajar di surau di tamanku bahawa itu antara tanda-tanda akhir zaman. Adakah aku berpeluang lagi bertemu dengan Ramadhan yang penuh keberkatan ini pada tahun akan datang?. Doaku semoga Allah akan panjangkan umurku dalam kebajikan sehingga bertemu lagi Ramadhan akan datang. Pada tahun ini aku akan beraya di kampungku di Taiping. Kira-kira pukul 9.00 pagi aku bertolak ke rumah ibu bapaku bersama keluargaku untuk membuat persiapan menyambut hari raya idul fitri. Aku dan adikku akan membakar lemang dan isteri dan adik iparku akan membantuk ibuku untuk membuat ketupat serta rendang daging dan ayam. Apabila aku tiba adikku sedang memasukkan daun pisang ke dalam buluh lemang.

Memasukkan daun pisang ke dalam buluh
Dalam soal membuat lemang ini, adikku lebih mahir dan berpengalaman. Aku hanya membantu apa yang perlu sahaja. Kami bercadang untuk membakar lemang sebanyak dua gantang. Jadi aku telah membeli santan sebanyak tiga kilogram. Sukatan yang kami selalu buat satu gantang pulut, satu kilo santan.

Buluh yang siap dimasukkan daun pisang
Selepas itu, kami menyiapkan tempat membakar dan mula menghidupkan api di bawah bangsal yang terletak di sebelah rumah ayah dan ibuku. Kami menggunakan dahan kayu manggis dan kayu-kayu buangan untuk membakar lemang.

Tempat membakar lemang

Selepas itu, kami memasukkan pulut yang sudah dibasuh oleh ibuku ke dalam buluh serta dimasukkan santan yang sudah dicampur garam sesedap rasa. Pulut yang dimasukkan ke dalam buluh tidak  terlalu penuh untuk mengelakkan pulut tumpah semasa mendidih nanti.

Memasukkan pulut ke dalam buluh
Pada kali ini aku  ingin membuat eksperimen memasak lemang yang dicampurkan santannya dengan air krim soda. Aku diberitahu oleh sahabatku, Razak yang menjadi Seiausaha surau tamanku lemang akan bertambah sedap jika dicampur dengan air itu. Namun aku hanya mencuba dua batang saja sebagai percubaan. Jika berjaya, pada tahun-tahun akan datang semua lemang akan dicampur dengan air soda.

Air krim soda
Setelah semua selesai, buluh-buluh tersebut diletakkan di tempat  membakar yang telah disipakan tadi. Jarak kedudukan buluh dan api perlu sesuai supaya lemang masak dengan sempurna dan tidak hangit. Begitu juga dengan api perlu dijaga supaya tidak terlalu marak untuk mengelakkan lemang masak terkejut.

Lemang sedang dibakar
Sekiranya ketika sedang dibakar santan kering sebelum mendidih maka kita perlu tambah santan lagi supaya lemang tidak hangit. Dalam hal ini aku serahkan kepada anak saudaraku, Zamir yang bekerja di Terengganu yang turut membantu membakar lemang.

Santan ditambah
Buluh lemang juga perlu sentiasa dialih-alihkan supaya tidak hangit sebelah dibakar api. Kerja-kerja ini memerlukan kesabaran kerana api terlalu panas. Namun itu tidak menjadi masalah jika kita minat melakukannya.

Buluh sentiasa dialih-alihkan
Ketika aku dan adikku sibuk membakar lemang, isteri, ipar, anak saudara dan ibuku sibuk didapur untuk memasak rendang dan membuat ketupat. Sebanyak tiga cupak pulut ditanak  untuk dibuat ketupat.

Membungkus ketupat

Setelah lemang sudah mendidih dan dirasakan pulut sudahpun masak di bahagian dalamnya, kita perlu mengubah kedudukan buluh supaya lebih rendah agar pulut di bahagian atas buluh masak dengan baik. Manakala api hendaklah dipastikan tidak terlalu marak.

Kedudukan buluh direndahkan
Akhirnya, setelah dirasakan lemang sudah hampir masak, api dipadamkan menjadi bara saja dan buluh lemang dibiarkan beberapa ketika bagi memastikan pulut masak lebih sempurna dan sekata sebelum diangkat.

Buluh disalai beberapa ketika
Alhamdulillah lebih kurang enam jam bermain dengan api akhirnya lemang tersebut siap untuk dimakan, tapi perlu sabar sehingga tiba buka puasa. Apabila tiba waktu berbuka selepas makan kurma, aku terus mengambil lemang air krim soda yang dibuat eksperimen tadi. Menakjubkan! apabila dibuat perbandingan memang lemang tersebut lebih sedap dan mempunyai aroma yang lebih harum. Alhamdulillah, percubaan ini berjaya dan InsyaAllah pada tahun-tahuan akan datang semua lemang yang dibakar akan ditambah dengan air krim soda. Sekiranya pembaca-pembaca berminat, silalah cuba resepi ini, pasti tidak mengecewakan.

Menjadi juadah berbuka puasa
Selesai sembahyang Isya', anak-anak saudara aku paling gembira kerana masa untuk bermain bunga api bermula. Begitulah karenah anak-anak kecil, setahun sekali bermain bunga api. Alangkah gembiranya. Terkenang pula juga kanak-kanak di Palestine dan di Syria merayakan hari lebaran dengan dentuman senjata api dan meriam.Sungguh menyedihakan nasib umat Islam.


Saat gembira anak-anak saudaraku
Namun bagi aku yang telah dewasa saat-saat ini berasa sedih kerana berakhirnya bulan tarbiyah yang penuh dengan ganjaran dan tawaran Allah kepada hambanya yang bertaqwa. Teringat aku tazkirah ustaz di surau taman aku yang memberitahu Rasulullah SAW pernah bersabda "Celakalah orang-orang yang keluar daripada bulan Ramdhan tanpa mendapat keampunan daripada Allah SWT.". Ya, Allah Ya Tuhanku, janganlah aku, ibu bapa dan keluargaku termasuk dalam golongan tersebut. Ramadha! pergimu ditangisi, semoga berjumpa lagi pada tahun hadapan. Dalam masa yang sama terdetik kegembiraan di hatiku menjelangnya 1 Syawal yang penuh kemuliaan yang ditunggu-tunggu oleh orang-orang beriman untuk meraikan kemenangan hasil daripada tarbiyah pada bulan Ramadhan. Idul Fitri, kehadiranmu kunanti-nantikan dengan penuh kesyukuran. Allahhuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Walillah Hilham.  وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ





Isnin, 5 Ogos 2013

Kemahuan Mengatasi Segala-galanya

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم Salam Ramadhan Al-Mubarak,  syukur kerana kita masih lagi diberi peluang oleh Allah untuk berada dalam bulan penuh rahmat ini kerana kita tidak pasti adakah kita masih diberi peluang lagi untuk berada dalam bulan mulia ini pada tahun hadapan. Travelogku meneruskan coretan kali ini dengan berkongsi pengalaman melakukan sendiri membuat longkang dengan menggunakan gelung pvc berukuran 6 inci. Aku telah membeli sebanyak 6 batang gelung tersebut untuk ditanam di bahagian belakang dan bahagian tepi rumah aku. Harga sebatang gelung tersebut ialah RM55.00.

Longkang PVC 6"
Pada peringkat awal aku terpaksa memecahkan longkang sedia ada dan membuat lubang untuk menanam gelung PVC ini. Aku menggunakan mesin pemecah elektrik yang aku pinjam daripada kawan aku. Kerja-kerja pemecahan longkang sedia ada mengambil masa beberapa hari dan sangat meletihkan. Tetapi semua itu tidak menjadi masalah kerana aku suka melakukannya.
Kerja-kerja pemecahan longkang sedia ada
Setelah selesai pemecahan longkang sedia ada lubang digali untuk membolehkan paip atau gelung pvc itu ditanam di dalam tanah. Lubang yang digali perlulah mempunyai kecerunan yang membolehkan air mengalir dan tidak bertakung. Jika air bertakung sudah pasti akan menjadi sarang pembiakan nyamuk dan berbau busuk.


Lubang untuk menanam paip pvc
Selepas lubang digali paip pvc dimasukkan ke dalam lubang tersebut untuk ditanam. Kerja-kerja penanaman paip perlu berhati-hati supaya mempunyai kecerunan yang membolehkan air mengalir. Oleh itu, alat penimbang air perlu digunakan untuk menentukan kecerunan pengaliran air.

Paip yang telah ditanam
Seterusnya permukaan longkang tersebut mestilah ditutup dengan simen supaya nampak cantik dan mengelakkan paip pvc pecah. Aku membancuh simen di atas kereta sorong supaya memudahkan aku membawa simen itu ke tempat yang diperlukan. Bancuhan simen mesti dibuat dengan betul supaya permukaan yang hendak ditutup nanti kukuh dan tidak mudah retak.

Membacuh simen dengan pasir
Simen yang telah dibancuh diratakan di atas paip pvc supaya menutupi keseluruhan paip tersebut. Perataan permukaan tersebut memerlukan kemahiran dan kesabaran supaya nampak kemas dan licin. Sekiranya bancuhan simen tidak betul maka kerja-kerja perataan akan menjadi sukar dan bermasalah.

Kerja-kerja meratakan permukaan longkang bawah tanah
Pada bahagian tepi rumah aku permukaan longkang bawah tanah aku taburkan pasir dan kelikir untuk menutupi permukaan simen. Pada bahagian ini aku bercadang untuk membina pagola suatu masa nanti. Setelah lebih kurang seminggu akhirnya aku berjaya menyiapkan kerja-kerja pemasangan paip pvc sebagai longkang bawah tanah di rumahku. Sungguh puas hatiku melihat hasil kerja sendiri di samping dapat menjimatkan belanjaku. Walaupun sebelum ini aku tidak pernah membuat kerja-kerja ini tapi oleh kerana ada kemahuan maka segala-galanya dapat diatasi dengan mudah. وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Permukaan longkang bawah tanah yang ditutupi pasir sungai dan batu kelikir

Ahad, 4 Ogos 2013

Menyempurnakan Sesuatu Yang Kurang Sempurna

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم Salam Ramadhan, hari ini puasa telah memasuki hari yang ke-26 pada fasa pembebasan dari api neraka. Malam ini merupakan malam yang ke-27 ramadhan yang merupakan salah satu malam-malam ganjil dalam sepuluh malam terakhir. Semoga kita mendapat kerahmatan, pengampunan dosa dan akhirnya terlepas daripada api neraka, insyaAllah. Travelogku kali ini akan berkongsi pengalaman aku membuat ukiran kayu untuk dipasang kepada tangga rumah emak dan ayahku di kampung.
Tangga rumahku di kampung
Oleh sebab aku sibuk dengan kerja-kerja aku,  maka aku telah meminta tangga ini dibina oleh tukang rumah yang aku kenal. Namun, aku sungguh tidak berpuas hati dengan seni pembuatannya yang kasar dan tidak kemas. Masalah seperti inilah yang menyebabkan aku lebih suka buat sendiri daripada mengupah orang lain. Upah mahal, tapi seni pembuatan tidak kemas dan cantik. Tapi apa boleh buat kerana kekangan masa dan kerja terpaksalah suruh orang lain buat. Aku hanya membuat ukiran kayu dan memasangnya di tangga tersebut untuk menampakkan seni Melayu lama.

Inilah sebahagin ukiran bunga yang akan dipasang
Nasib baiklah seni pembinaan yang tidak kemas itu dapat dilindungi sedikit sebanyak oleh ukiran kayu yang di pasang di tangga kayu tersebut.Aku membuat ukiran kayu ini di rumahku, kemudian aku hanya memotong ukiran kayu ini di rumah emak dan ayahku untuk disesuaikan dengan tangga kayu tersebut. Sebanyak tiga belas keping ukiran kayu yang akan dipasang di bahagian beranda dan bahagian tepi tangga batu itu.

Proses memotong selepas diukur
Selepas selesai memotong mengikut ukuran yang dikehendaki, aku mula melicinkan permukaan papan ukiran kayu tersebut dengan menggunakan 'sander' supaya nampak cantik, licin dan menarik. Kerja-kerja melicinkan permukaan papan ini memerlukan aku memakai penutup muka untuk mengelakkan debu-debu halus daripada memasuki hidungku. Rumit juga kerjanya. Tapi kerana minat itu semua bukanlah menjadi masalah kepada aku.

Proses melicinkan permukaan ukiran kayu
Setelah semua proses tersebut selesai barulah aku mula memasang ukiran kayu itu di bahagian beranda tangga tersebut. Sebanyak tujuh keping ukiran kayu untuk memenuhkan ruangan ini. Pemasangan pada bahgaian ini tidaklah begitu rumit tetapi memerlukan kesabaran supaya pemsangan dapat dibuat dengan kemas.

Pemasangan di beranda
Untuk memenuhkan sebelah kiri dan kanan ruang ini aku terpaksa membelah sekeping ukiran kayu menjadi dua kerana ruangan yang sempit. Lihatlah gambar di bawah selepas proses pemasangan selesai. Alhamdulillah siaplah bahagian ini tanpa banyak masalah dihadapi.


Ruangan beranda
Seterusnya, aku mula memasang  pada bahagian pemegang tangga itu pula. Untuk memenuhkan ruangan ini sebanyak enam keping ukiran kayu digunakan. Pemsangan pada bahagian ini agak rumit kerana terpaksa memotong serong pada bahagian atas papan ukiran.  Namun, tidaklah menjadi masalah kerana pemotongan dibuat menggunakan gergaji elektrik.

Pemsangan di bahagian pemegang tangga
Setelah lebih kurang empat jam, akhirnya pemasangan ukiran kayu di tangga kayu ini selesai. Setelah siap dipasang aku menyuruh anakku untuk menyapu 'solar screen' supaya nampak licin dan cantik.

Akhirnya siaplah kerja aku memasang bunga tersebut. Aku berasa puas hati dengan kerja tangan aku walau pun kurang berpuas hati terhadap pembuatan tangga kayu oleh orang lain. Namun, ukiran kayu ini dapat mengurangkan kecacatan yang terdapat pada tangga kayu ini. Syukur alhamdulillah aku dapat menyelesaikan kerja ini dalam bulan yang penuh kerahmatan dan keberkatan. وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Tangga kayu yang sudah siap dipasang ukiran kayu