Pages

Coretan Travelog Hidup Insan Biasa Dalam Meniti Kehidupan Di Dunia Yang Fana

Khamis, 15 Ogos 2013

Ketenangan Menjelma Di Dada Mu

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم  Travelogku terasa begitu pantas masa berlalu meninggalkan kita walaupun jauh di sudut hati masih terkenang memori rutin hidup semasa bulan Ramadhan al-mubarak. Itulah tanda bahawa umur dunia sudah kian hampir ke penghujung usia. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud; "Tidak berlaku kiamat sehingga jarak masa menjadi dekat. Setahun seperti sebulan, manakala sebulan seperti seminggu. Seminggu seperti satu hari. Sehari seperti satu jam. Satu jam seperti api yang membakar nyalaan."
 
Sedih berlalunya Ramdhan
Kini Syawal sudah pun tiba hari yang ke-8 dan warga kota sudah pun meninggalkan kampung untuk meneruskan kehidupan seharian. Tapi aku masih lagi cuti, namun sudah pun mula menyambung kerja-kerja yang menjadi kegemaran dan minatku. Selain aku meminati kerja-kerja pertukangan kayu, aku juga mempunyai kegemaran mengisi masa lapang dengan berkebun.

Kebun kelapa sawitku
Pada hari ini aku bersama-sama anakku mengisi masa lapang dengan menabur  baja pada pokok kelapa sawit yang terletak berhampiran dengan rumah ibu bapaku. Kali terakhir aku membaja kelapa sawit aku ialah pada 13.6.2013.

Membuka guni baja
Selepas makan tengah hari, kira-kira pukul 2.30 petang, aku bersama-sama anakku mula bergerak menuju ke kebunku dengan motorsikal. Aku dan anakku membawa baja-baja yang diletakkan di rumah ibu bapaku dengan menggunakan motorsikal.

Membaja kelapa sawit
Setiba di kebun, aku pun mula memulakan kerja-kerja membaja dengan bantuan anakku, Muhammad Najmi. Pada ketika itu, cuaca agak mendung kemungkinan hujan akan turun tidak lama lagi. Jadi aku terpaksa membaja dengan cepat dan berharap hujan tidak akan turun lagi.

Anakku membantu
Setelah lebih kurang sejam lebih, kerja-kerja membaja pun selesai. Syukur alhamdulillah sebab hujan masih belum turun. Aku harap hujan akan turun tidak lama lagi bagi membolehkan baja yang baru dibubuh akan meresap masuk ke dalam tanah. Namun aku harap hujan tidak terlalu lebat. Jika terlalu lebat baja yang baru ditabur akan dibawa masuk ke dalam parit, rugilah aku kerana harga baja bukannya murah.

Pondok di kebunku
Setelah semuanya disimpan di pondok burukku, kami pun mula bergerak pulang meninggalkan kebunku yang menjadi tempat aku melepaskan tekanan kerja harianku. Terasa aman dan tenang apabila berada di kebun. Alangkah seronoknya... السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

0 komen: