Coretan Travelog Hidup Insan Biasa Dalam Meniti Kehidupan Di Dunia Yang Fana

Isnin, 31 Mac 2014

Manusia Memang Begitu...Usah Pedulikan...

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم   Trevelogku kali ini ingin berkongsi ilmu berkaitan dengan kehidupan seharian kita yang tidak terlepas daripada kata-kata dan cercaan orang lain terhadap diri kita. Coretan ini hasil daripada majlis ilmu yang dihadiri olehku pada malam Ahad bersamaan 29.3.14 sempena Kem Solat Bestari anjuran KRT Taman Paduka Setia di Surau An-Najihin. Kem solat ini diadakan untuk memberikan pengetahuan secara teori dan  praktikal tentang ibadat sembahyang kepada anak-anak qariah Taman Paduka setia.

Inilah kerja syaitan
Kebanyakan manusia suka melihat kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh orang lain daripada merenung dan menyedari kesilapan yang dilakukan oleh diri sendiri. Kadang-kadang diri sendiri melakukan kesalahan dan kesilapan lebih daripada orang lain, tapi dibutakan mata, ditutupkan telinga serta mata hati. Namun apa sahaja yang dilakukan oleh orang lain semuanya nampak salah dan tidak kena, walaupun apa yang dilakukan oleh seseorang itu betul. Itulah yang dinamakan manusia yang tewas kepada bisikan syaitan.

Ilmu orang mengata
Sebenarnya dalam kehidupan kita di dunia ini, kita tidak boleh terlalu memikirkan kata-kata orang terhadap kita sehingga menyebabkan kita tertekan dan menjadi risau. Renunglah kisah Lukman Hakim dan anaknya serta keldai ini sebagai pengajaran dan iktibar kita meneruskan kehidupan di dunia yang fana ini. Lukman Al-Hakim merupakan seorang cendiakawan yang bijak dan sentiasa menasihati anaknya dengan penuh hikmah. Bagi mendidik anaknya menghadapi realiti kehidupan sebenar berkaitan dengan pandangan orang lain terhadap kita, beliau telah membawa anaknya bersama-sama ke pasar bersama seekor keldai.

Anak naik keldai
Lukman Al-Hakim telah menyuruh anaknya menunggang keldai itu, sementara beliau berjalan kaki bersama-sama sambil memegang tali keldai itu. Apabila melalui sebuah kampung, ramai penduduk kampung itu memandang dengan sinis sambil berkata:

"Sungguh tidak berguna anak itu, sanggup dia yang kuat dan bertenaga naik keldai membiarkan ayahnya yang tua berjalan kaki. Anak yang tidak tahu untung dan mengenang budi serta tidak tahu menghormati bapanya. Anak Derhaka....".

Lukman  Al-Hakim dan anaknya mendengar cercaan orang ramai dengan sabar dan meneruskan perjalanan.  

Ayah naik keldai
Apabila hampir dengan kampung kedua, Lukman meminta anaknya turun dan beliau pula yang menunggang keldai, manakala anaknya disuruh berjalan sambil memegang tali keldai. Sampai sahaja di kampung kedua, orang ramai dengan perasaan marah berkata:

"Bodohnya orang itu, sanggup membiarkan anaknya yang masih kecil berjalan kaki, manakala dia menunggang keldai. Ayah yang tidak berhati perut dan tidak tahu menjaga anak."

Lukman Al-Hakim dan anaknya mendengar cercaan tersebut dengan sabar dan meneruskan perjalanan mereka ke pasar yang ditujui.

Kedua-dua orang naik keldai

Mereka meneruskan perjalanan sehingga sampai ke kampung ketiga, Lukman Al-Hakim turun daripada keldai itu dan berjalan bersama-sama anaknya sambil memegang tali keldai. Orang ramai memandang dengan pelik dan ganjil sambil berbisik-bisik:

"Alangkah bodohnya kedua-dua orang itu. Tidak tahu menggunakan kemudahan yang diberikan oleh Allah. Keldai itu sepatutnya mereka tunggangi, bukanya diheret. Ada otak tapi tidak digunakan untuk berfikir."



Mereka meneruskan perjalanan sehingga sampai di pasar. Akhirnya, Lukman Al-Hakim menjual keldai tersebut di pasar itu supaya tidak timbul lagi celaan orang ramai. Sebelum pulang, Luqman Al-Hakim berkata  kepada anaknya:

“Wahai anakku, sekiranya kamu sentiasa melihat dan mengharap kepada pandangan manusia, tiada apa yang bakal berubah pada keadaannya. Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu daripada percakapan manusia. Sikap manusia tidak akan berasa senang dan gembira dengan orang lain.Orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah SWT sahaja dan sesiapa yang memahami kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu. lakukanlah apa yang menjadi kemaslahatan bagi dirimu, jangan pedulikan kata-kata orang lain. Yakinlah akan dirimu sendiri dan setelah dilaksanakan sebaiknya, maka bertawakallah kepada Allah SWT. Semua hal tadi aku lakukan kepadamu tak lain hanya untuk memberikan suatu pelajaran kepadamu."

Renungilah kisah di atas....jadikanlah pedoman hidup.....

لسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُ

Rabu, 26 Februari 2014

Impian Menjadi Kenyataan














بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم Bertemu kembali pada laman trevelogku setelah sekian lama menyepi diri dek kerana kesibukan menjalani kehidupan seharian. Niat di hati memang banyak perkara yang terlintas dalam fikiran yang  hendak dikongsi bersama, namun apakan daya manusia bisa merancang tetapi Allah SWT jua yang menetapkan  sesuatu kejadian terhadap makhluknya. Pada kali ini aku ingin berkongsi pengalaman membuat pagola di sebelah rumahku yang sudah sekian lama diimpikan oleh isteriku. Kawasan tersebut kini kuletakkan pokok-pokok bunga yang kutanam sendiri dan tidak begitu terurus.
Ruang untuk dipenuhi oleh pagola




Aku telah lama membeli kayu untuk pembinaan pagola ini tapi tersadai di tepi rumahku kerana kekangan masa. Rasa-rasanya hampir dua atau tiga bulan tersadai di bahagian tepi rumahku. Nasib baik tidak ada anai-anai, kalau tidak lebuh jadi makanan anai-anai.

Kayu yang tersadai

Jadi apabila cuti bermula akupun memulakan kerja-kerja membina pagola tersebut pada 8.1.13, bersamaan dengan hari Ahad. Aku mula melicinkan kayu-kayu yang telah dibeli dengan menggunakan 'grinder' yang dipasang dengan 'sander'. Proses untuk melicin, membuang cat dan meratakan kayu lama mengambil masa yang agak lama.

Proses melicinkan kayu

Selepas itu, aku mula  memahat batang-batang tiang pagola untuk menampakkan seni ukiran yang menarik. Tiang-tiang kayu cengal  yang berukuran 4" x 4" aku pahat sikit demi sedikit dengan penuh kesabaran. Bukan senang untuk memahat tiang cengal yang keras.
Pahat-memahat
 Pada sebelah malam, aku dan isteri melukis corak bunga yang hendak diserikan pada pagola yang akan dibuat. Isteriku banyak memberikan ilham motif bunga yang hendak dilukis. Melukis ini pun memerlukan kreativiti dan kehalusan rasa.
Melukis bunga atas kertas untuk acuan melukis atas kayu
Setelah siap dipotong dan diukir kayu yang hendak digunakan, sampailah masa untuk kerja-kerja memasang dan menaikkan tiang-tiang pagola. Pagola yang hendak aku bina panjangnya lebih kurang 30' dan lebarnya 8'. Kerja-kerja mendirikan pagola tidak boleh dilakukan oleh aku seorang, jadi isteri dan anakku Najmi membantu aku.
Pekerjaku yang rajin membantu
Pemasangan pagola memerlukan kesabaran dan ketelitian supaya nampak kemas dan menarik. Mesin-mesin sangat penting supaya dapat memudahkan kerja pemasangan dan menjimatkan masa.
Gerudi lubang
Setelah beberapa hari rangka pagola berjaya didirikan dengan bantuan isteri dan anak-anakku. Puas rasanya melihat penat lelah yang telah berbalas dengan rangka pagola yang telah didirikan.
Rangka yang telah didirikan








Setelah bertungkus-lumus lebih kurang tiga minggu akhirnya pagola yang diimpi-impikan tersergam indah di bahagian tepi rumahku. Aku membina pintu gerbang pada bahagian pagola itu supaya nampak cantik dan menarik.



Gerbang pagola
Aku juga menghiasi pagola ini dengan ukiran bunga kayu yang melambangkan ketinggian seni ukiran  Melayu lama yang telah jarang kelihatan di rumah-rumah Melayu.

Ukiran bungai kayu



Bunga bahagian tengah

Pagolaku

Setelah hampir sebulan aku bertungkus-lumus pagi dan petang, akhirnya siaplah pagola yang diimpi-impikan oleh isteriku. Alhamdulillah, impian menjadi kenyataan, syukur. السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ





Ahad, 15 September 2013

Hebatnya Solat Dhuha

 بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم Alhamdulillah kerana Allah masih lagi memberikan nikmatnya yang berterusan sehingga aku mampu meneruskan catatan dalam Travelogku ini. Sembahyang Dhuha merupakan solat sunat muakkad yang boleh dianggap sebagai rasa terima kasih seseorang hamba kepada Allah SWT kerana memberikan kepada kita 360 sendi untuk kita menjalani kehidupan, walaupun pada hakikatnya kita tidak dapat membalas budi Allah SWT. Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan solat Dhuha dan umat Islam amat dituntut melakukannya. Abu Hurairah pernah berkata: “Rasulullah SAW berwasiat kepadaku tiga perkara agar jangan ditinggalkan iaitu  berpuasa tiga hari setiap bulan, dua raka’at Dhuha dan Witir sebelum tidur.”


Rasulullah SAW pernah mengerjakan sembahyang Dhuha sebanyak dua rakaat atau empat atau enam dan paling banyak lapan rakaat. Nabi Muhammad SAW  bersabda: “Wahai anak Adam! Janganlah sekali-kali kamu malas mengerjakan empat rakaat solat Dhuha, maka akan aku cukupkan keperluanmu sehingga waktu petang.”   (HR Al-Hakim dan At-Tabrani).




Waktu Solat Dhuha.
Solat sunat Dhuha dilakukan pada waktu matahari sedang naik. Masanya ialah  30 minit selepas habis  waktu Subuh, sehinggalah sebelum masuk waktu sembahyang Zhohor iaitu sekiranya habis waktu Subuh 7.00 pagi ,maka masuknya waktu Dhuha bermula jam 7.30  pagi. Walaupun begitu waktu paling afdal melakukan Solat Sunat Dhuha ialah anggaran matahari naik, tinggi segalah (7 hasta atau 3 meter), lebih kurang dalam pukul 8.30 pagi. Zaid bin Arqam r.a. berkata: “Nabi SAW keluar menuju tempat Ahli Quba, di kala itu mereka sedang mengerjakan Solat Dhuha. Baginda bersabda; “Inilah solat orang-orang yang kembali kepada Allah, iaitu di waktu anak-anak unta telah bangkit kerana kepanasan waktu Dhuha.”  (HR. Ahmad, Muslim dan Tirmidzi)





Cara Mengerjakan Solat Sunat Dhuha.
Sembahyang sunat Dhuha dilakukan dengan niat seperti di bawah. Manakala surah yang dsyorkan dibaca ketika sembahyang Dhuha dua rakaat ialah:-
i. Ayat al-Kursi 10 kali dan Al-Ikhlas 10 kali atau;
ii. As-Syams dan Ad-Dhuha. atau;
iii. Al-lail dan Al-Insyirah.




Sekiranya mampu bacalah doa di bawah sebanyak 40 kali pada sujud terakhir, tetapi jika tidak mampu tidak perlu baca doa di bawah cukup sekadar membaca tasbih seperti biasa. Jangan kita memberatkan diri, sebaliknya permudahkannya. Apa yang penting kita dapat memelihara sembahyang ini setiap hari walaupun dilakukan sebanyak dua rakaat. Sekiranya kita menjaga solat ini barulah Allah mengampunkan dosa-dosa kecil kita walaupun sebanyak buih di lautan.




Selepas memberi salam bertasbihlah seperti di bawah sebanyak 10 kali jika mampu melakukannya. Jika tidak cukup sekadar sekali atau tiga kali.


Akhirnya, berdoalah dengan doa di bawah jika mampu. Sekiranya tidak mampu cukuplah sekadar berdoa apa saja terutamanya semoga Allah mengampunkan dosa, murah dan berkatkan rezeki serta umur panjang dengan membuat kebajikan sepanjang hayat.







Fadhilat Solat Dhuha
Sebaik-baiknya solat Dhuha ini dikerjakan setiap hari kerana  mempunyai banyak kelebihan dan fadhilatnya. Seseorang yang memelihara solat sunat ini setiap hari  akan memperoleh keampunan Allah SWT, murah rezeki dan mendapat ketenangan jiwa serta keberkatan hidup dunia dan akhirat.
  • Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW  bersabda: “Sesiapa Yang mengerjakan solat Dhuha dengan istiqamah nescaya akan diampuni dosanya olleh Allah sekalipun dosa itu sebanyak buih di lautan.”

  • Rasulullah SAW  bersabda:  “Bahawasanya di syurga ada pintu yang dinamakan ‘Dhuha’. Maka apabila  tiba hari kiamat kelak, berserulah (malaikat) penyeru: “Manakah orang-orang yang telah mengamalkan solat Dhuha; Inilah pintu kamu, silakan masuk ke dalam syurga dengan Rahmat Allah.”   (HR At-Tabrani)
  • Rasulullah SAW juga bersabda dalam hadits lain dari Nuwas bin Sam’an,  “Allah berfirman: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat raka’at pada permulaan siang (Solat Dhuha), nanti pasti akan Ku cukupkan keperluanmu sampai ke petang harinya.”   (HR. Haklim dan Tabrani).
  • Daripada Abu Dzar r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah masing-masing di antara kamu setiap pagi bersedekah untuk setiap ruas tulang badanmu. Maka tiap kali bacaan tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, dan setiap takbir adalah sedekah. Menyuruh kebaikan adalah sedekah, mencegah keburukan juga adalah sedekah. Dan sebagai ganti daripada itu semua, cukuplah mengamalkan dua rakaat solat Dhuha.”   (HR Ahmad, Muslim dan Abu Daud)



Akhirnya semoga apa yang coretkan dalam Travelogku ini akan memberikan ilmu dan peringatan kepada diriku yang lupa dan sentiasa alpa dengan kehidupan dunia. Bagi pembaca yang membaca blogku ini terima kasih dan diharapkan mendapat sedikit ilmu pengetahuan tentang sembahyang sunat Dhuha untuk kita sama-sama amalkan. Terima kasih juga kepada blog-blog yang kukutip bahan-bahan seperti maklumat dan video-video  yang dipaparkan di atas. السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Rabu, 11 September 2013

Apabila Islam Tidak Lagi Dipedulikan

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم  Syukur alhamdulillah kerana Allah masih lagi memberikan peluang kepadaku untuk mencoretkan sesuatu dalam Travelogku ini. Entri kali ini akan berkisar tentang khutbah Jumaat di Masjid At-Taqwa Taman Brown/Tun Sardon yang disampaikan oleh Dr. Asri bin Zainal Abidin, bekas mufti Perlis pada suatu ketika dulu. Aku begitu teruja untuk mendengar khutbahnya kerana belum pernah bersua muka dengan beliau, selain itu banyak kontroversi yang ditimbulkan oleh Dr. Asri tentang beberapa isu sebelum ini.
Dr Asri Zainal Abidin
Khutbah beliau dimulakan dengan penjelasan tentang agama Islam yang membawa cahaya keadilan  kepada semua manusia, malah juga kepada semua makhluk yang berada di atas muka bumi ini.  Kitab suci Al-Quran mengandungi panduan hidup tentang kesejahteraan hidup di dunia mahupun di hari Akhirat. Sebahagian daripada intipati ajaran Islam adalah tentang kesejahteraan, keamanan, ketenteraman dan keselamatan. Manusia hanya boleh selamat daripada belenggu kerisauan apabila wujudnya kesejahteraan dan keadilan. Syariat Islam yang diterjemahkan melalui sumber Al-Quran, Sunah dan ‘Ijma ulama bertujuan untuk mewujudkan asas-asas keselamatan berlandaskan keadilan dan kesejahteraan. Oleh sebab itulah Syariah wajib dilaksanakan bagi memenuhi keperluan asas keselamatan manusia dengan menjaga lima perkara utama iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.


Al-Quran membawa cahaya kebenaran untuk semua manusia
Keadilan secara umum bermaksud "meletakkan sesuatu itu sesuai pada tempat dan keadaannya". Ibn Qayyim apabila mentafsirkan Surah al-Hadid ayat ke-25 berkaitan keadilan menegaskan bahawa ‘keadilan adalah matlamat utama Islam". 
"Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka Al Kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan. Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai-bagai manfaat bagi manusia, (supaya mereka mempergunakan besi itu) dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)Nya dan rasul-rasul-Nya padahal Allah tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.


Allah mengutuskan para Nabi dan Rasul untuk menegakkan keadilan. Sebarang langkah ke arah menegakkan keadilan merupakan sebahagian tuntutan agama. Melaksanakan keadilan dan menghapuskan kezaliman adalah antara falsafah sistem perundangan  Islam. Inilah garis panduan yang ditetapkan oleh Allah seperti disebut menerusi firman-Nya yang bermaksud:   
"Wahai orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah biarpun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa) kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada kedua-duanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng daripada keadilan. Dan jika kamu memutarbelitkan keterangan atau enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam apa yang kamu lakukan." (Surah an-Nisaa', ayat 135).

Islam itu adil untuk semua
Ayat-ayat Allah yang mengandungi sesuatu perintah atau suruhan tidak memilih manusia dari segi keturunan, status, darjat atau jantina. Islam melayan semua manusia dengan adil dan saksama, tidak mengira sama  ada manusia itu perdana menteri, menteri atau rakyat biasa. Bagi Allah manusia yang mulia di sisinya hanya orang-orang yang bertakwa.  Firman Allah SWT yang bermaksud: “…Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu…” (al-Hujurat: 13)

Kenaikan harga petrol dan diesel
Dalam hubungan dengan kenaikan harga minyak, Ustaz Dr Asri menjelaskan bahawa itu merupakan urusan ekonomi yang boleh diberikan pelbagai alasan terhadap kenaikan harga itu. Namun realitinya, adakah itu merupakan langkah yang terbaik dan tidak ada langkah-langkah lain lagi yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi masalah ekonomi?. Adakah langkah meletakkan beban penyelesaian kepada rakyat ini merupakan langkah yang terbaik?. Sudahkah langkah penghapusan rasuah telah dilaksanakan dengan berkesan? Sudahkah amalan-amalan  pembaziran wang negara oleh pemerintah telah dihentikan?. Sudahkah menteri-menteri tidak lagi melakukan  pemborosan?. Adakah Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya" (Surah al-Isra', ayat 27), hanya diperintahkan kepada rakyat biasa dan tidak terkena terhadap pemerintah?.


Sehubungan itu, Dr. Mazi juga telah menceritakan kisah yang berlaku terhadap Imam Nawawi pada zaman pemerintahan Sultan Al-Malik Al-Zahir.  Menurut riwayat, Sultan Al-Malik Al-Zahir telah  mengadakan persiapan perang untuk memerangi orang-orang Tatar (Monggol) lalu  digunakanlah fatwa ulama yang mengharuskan mengambil harta rakyat untuk kepentingan  perang melawan musuh.

 
 
Keseluruhan ulama fiqh negeri Syam telah menulis menyokong fatwa tersebut, namun  baginda belum berasa senang hati kerana Imam Nawawi belum memberikan fatwanya. Baginda menjemput Imam Nawawi ke istana untuk mendengar sendiri pandangan beliau.  Walaupun menerima jemputan sultan, tanpa diduga Imam Nawawi menolak untuk menyokong  fatwa itu. Malah dengan berani beliau memberikan alasan penolakannya itu."Aku mengetahui bahawa kamu (Sultan Al-Malik Al-Zahir) dahulunya seorang hamba  tawanan dan tidak mempunyai sebarang harta benda. Tetapi dengan pertolongan Allah  kamu telah menjadi seorang raja. Aku mendengar bahawa kamu ada memiliki seribu orang  hamba, tiap seorang memakai tali pinggang emas. Manakala 200 orang khadam wanita  milik kamu masing-masing mempunyai barang-barang perhiasan yang bernilai. Andai kata kamu membelanjakan kesemua itu untuk keperluan perang sehingga mereka  tidak lagi mempunyai barang-barang itu, maka aku bersedia memberikan fatwa untuk  membenarkan kamu mengambil harta rakyat."
Kesimpulannya, Imam Nawawi berfatwa tidak membenar Sultan Al-Malik Al-Zahir mengambil harta rakyat  selama kekayaannya sendiri masih dapat digunakan untuk sesuatu tujuan. Adakah keputusan kerajaan ini bersesuaian dengan fatwa ulamak besar ini?. Fikirlah sendiri sebagai manusia yang rasional yang menggunakan akal fikiran yang waras. Mengapakah subsidi kepada rakyat ditarik balik,  manakala pembaziran dalam kalangan menteri-menteri masih berterusan?.



Akhirnya, khutbah beliau diakhiri dengan membawa kisah yang berlaku terhadap Panglima tentera Islam yang dihantar oleh Khalifah umar al-Khatab ke Parsi iaitu Rubai bin Amir. Beliau telah  ditanya oleh Rustam iaitu Raja Parsi apakah yang menyebabkan tentera Islam datang untuk menakluk Parsi.  Maka Rubai menjawab dengan penuh keyakinan  iaitu:
"Kami adalah kaum yang diutuskan Allah untuk mengeluarkan sesiapa yang berkehendak daripada penyembahan terhadap hamba kepada Tuhan yang Esa dan mengeluarkan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat serta mengeluarkan mereka dari kezaliman agama-agama lain kepada cahaya keadilan Islam." 
Sepatutnya, kedatangan Islam merupakan cahaya kepada manusia khususnya rakyat Malaysia yang kononnya dicanang-canang diperintah dengan sistem Islam. Tapi apa yang terjadi keindahan Islam itu tidak terjelma lantaran penolakan terhadap sistem kehidupan Islam yang sebenarnya. Akibatnya rakyat hidup menderita, manakala orang-orang yang berkuasa terus membolot kekayaan negara. Begitulah nasib kehidupan manusia apabila Islam tidak lagi dipedulikan.


Makluman. 
Penulis memohon kemaafan daripada Dr Asri sekiranya terdapat sedikit sebanyak perubahan isi khutbah ini, namun penulis sedaya upaya cuba  mengekalkan maksud penyampaian khutbah ini.
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 

Isnin, 9 September 2013

Menjejaki Bahasa Al-Quran


بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم Alhamdulillah, trevelogku kali ini berkaitan dengan kelas bahasa Arab yang diadakan di Surau An-Najihin, Taman Paduka Setia yang bermula pada 8.9.2013 (Ahad). Kelas ini anjuran bersama KRT dan Surau An-Najihin Paduka Setia yang dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Ali bin Zahari dari Jelutong. Lebih kurang 40 orang menghadiri kelas ini yang diadakan pada pukul 5.00 hingga 7.00 petang. Terima kasih kepada Tuan haji Shahabuddin yang berusaha untuk merealisasikan kelas bahasa Arab ini. Kenapakah kita perlu belajar bahasa Arab?.


القرآن الكريم / Al-Quran yang mulia

Renunglah firman Allah SWT ini "Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya". (Surah Yusuf:2). Setelah membaca ayat di atas, tentulah kita mengetahui bahwasanya bahasa Arab merupakan bahasa yang dipilih oleh Allah Subhanahu wa ta’ala untuk agama Islam.


Saya budak baru belajar / أنا أتعلم صبي جديدة  


Bagi pelajaran pertama ini, dapatlah aku ketahui bahawa dalam bahasa Arab, ada dua istilah penting yang disebut dengan nahwu dan shorof.   Nahwu ialah ilmu untuk mengetahui hukum akhir dari sesuatu kata, sama ada berharokat dhommah, fathah atau kasrah. Dalam bahasa Melayu dikenali sebagai kajian sintaksis.

Contoh perubahan bentuk akhir suatu kata:

Contoh:
جَاءَ رَجُلٌ


Telah datang seorang laki-laki
رَجُلٌ
جَاءَ
Harokat akhir dhommah (baris hadapan (u))
(marfu’)

رَأَيْتُ رَجُلاً


Aku melihat seorang laki-laki
رَجُلاً
رَأَيْتُ
Harokat akhir fathah (baris atas (a))
(manshub)

مَرَرْتُ بِرَجُلٍ

Aku berjumpa dengan seorang laki-laki
بِرَجُلٍ
مَرَرْتُ
Harokat akhir kasrah (baris bawah (i))
(majrur)


Manakala ilmu shorof ialah  ilmu yang mempelajari kaedah-kaedah perubahan sesuatu kata kepada bentuk lain  yang menyebabkan   perubahan pada artinya. Bermakna ilmu tentang pembentukan kata dan perubahannya, sama ada kerana penambahan atau pengurangan. Dalam bahasa Melayu disebut kajian morfologi


Contoh :
نَصَرَ Telah menolong (kata kerja)
يَنْصُرُ Sedang menolong (kata kerja)
نَاصِرٌ Orang yang menolong (Subjek)
مَنْصُوْرٌ Orang yang ditolong (Objek)


Kata di dalam bahasa Arab terbahagi kepada tiga jenis:-
i. Isim (kata nama)
ii. Fi’il (kata kerja)
iii. Huruf (huruf-huruf tertentu)

i. Isim
Dalam Bahasa Arab, isim terbahagi kepada 2 jenis; iaitu isim muzakkar (اسم المذكر) dan isim mu'annas (اسم المؤنث). Isim muzakkar ialah setiap kata nama yang menunjukkan lelaki/jantan. Manakala isim mu'annas pula ialah kata nama yang menunjukkan perempuan/betina.

Contoh isim muzakkar :
1) بَيْتٌ - rumah
2) قَمِيصٌ - kemeja
3) سَرِيرٌ - katil
4) كُرْسَيٌّ - kerusi
5) مِفْتَاحٌ - anak kunci
6) مَكْتَبٌ - meja
7) قَلَمٌ - pen
8) نَجْمٌ - bintang
9) كِتَابٌ - buku
10) مَسْجِدٌ - masjid
Berikut adalah contoh isim mu'annas :
1) مِرْوَحَةٌ - kipas angin
2) سَيَّارَةٌ - kereta
3) حَمَامَةٌ - burung merpati
4) مِسْطَرَةٌ - pembaris
5) دَرَّاجَةٌ - basikal
6) حَقِيبَةٌ - beg
7) وَرْدَةٌ - bunga mawar
8) نَظَّارَةٌ - cermin mata
9) بَطَّةٌ - itik betina
10) طَائِرَةٌ - kapal terbang

Bagi memudahkan kita mengenal pasti isim, biasanya kalimah jar (kata sendi)  seperti di bawah terletak di hadapan isim:-
مِنْ Dari
إِلَى Ke
عَنْ dari
عَلَى Di atas
فِى Di dalam


رُبَّ Betapa byk
بِ dengan
مُذْ = مُنْذُ sejak
كَـ seperti
لِـ.. Bagi


مَعَ beserta
لَعَلَّ Mudah2an
عِنْدَ Pada/ sisi
حَتَّى sampai



Contoh isim  yang bersambung dengan huruf jar:-
  1. ن (min) Contoh, مِنَ الجامِعَةِ (Dari kampus)
  2. إلي (ila) Contoh, إلي المَدْرَسَةِ Ke sekolah
  3. عن ('an) Contoh, عَنِ الَمسْألَةِ (dari masalah itu)
  4. علي ('ala) Contoh, عَلَي الِمنْبَرِ (Di atas mimbar)
  5. في (fi) Contoh, فِي الْبَيْتِ (Di rumah)
  6. رب (rubba). Contoh, رُبَّ رَجُلٍ كَرِيْمٍ (Semoga lelaki yang baik)
  7. الباء Contoh, بِمُحَمَّدٍ (dengan Muhammad)
  8. الكاف Contoh, محُمَدٌ كَعُمَرَMuhammad seperti Umar
  9. أللام
Contoh, اَلكِتَابُ لِزَيْدٍ Buku itu milik Zaid.
  1. حُروف القَسَمHuruf (kata sambung) untuk sumpah bermakna "demi". Kata sambung sumpah ada tiga yaitu
    1. الواو (wau). Contoh, وَاللَِه Demi Allah
    2. الباء (ba'). Contoh, بِاللِه Demi Allah
    3. التاء (ta'). Contoh, تَاللِه Demi Allah

Kesimpulannya, huruf jar pasti bersambung dengan isim dan tidak mungkin bersambung dengan fi’il. Juga menjadi penanda kepada isim. Selain itu, salah satu tanda isim yang majrur (isim yang dimasuki huruf jar) adalah kasrah, sebab itulah kenapa semua contoh diatas berakhiran kasrah (‘in’ jika tanpa alif lam, dan ‘i’ jika dengan alif lam). Demikianlah pelajaranku bagi kelas bahasa Arab yang pertama. Dapatlah aku memahami serba-sedikit asasa-asas bahasa Al-Quran ini. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan kemudahan kepada kami semua untuk terus mengharungi cabaran dan halangan menguasai bahasa Arab ini.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ