Pages

Coretan Travelog Hidup Insan Biasa Dalam Meniti Kehidupan Di Dunia Yang Fana

Isnin, 31 Mac 2014

Manusia Memang Begitu...Usah Pedulikan...

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم   Travelogku kali ini ingin berkongsi ilmu berkaitan dengan kehidupan seharian kita yang tidak terlepas daripada kata-kata dan cercaan orang lain terhadap diri kita. Coretan ini hasil daripada majlis ilmu yang dihadiri olehku pada malam Ahad bersamaan 29.3.14 sempena Kem Solat Bestari anjuran KRT Taman Paduka Setia di Surau An-Najihin. Kem solat ini diadakan untuk memberikan pengetahuan secara teori dan  praktikal tentang ibadat sembahyang kepada anak-anak qariah Taman Paduka setia.

Inilah kerja syaitan
Kebanyakan manusia suka melihat kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh orang lain daripada merenung dan menyedari kesilapan yang dilakukan oleh diri sendiri. Kadang-kadang diri sendiri melakukan kesalahan dan kesilapan lebih daripada orang lain, tapi dibutakan mata, ditutupkan telinga serta mata hati. Namun apa sahaja yang dilakukan oleh orang lain semuanya nampak salah dan tidak kena, walaupun apa yang dilakukan oleh seseorang itu betul. Itulah yang dinamakan manusia yang tewas kepada bisikan syaitan.

Ilmu orang mengata
Sebenarnya dalam kehidupan kita di dunia ini, kita tidak boleh terlalu memikirkan kata-kata orang terhadap kita sehingga menyebabkan kita tertekan dan menjadi risau. Renunglah kisah Lukman Hakim dan anaknya serta keldai ini sebagai pengajaran dan iktibar kita meneruskan kehidupan di dunia yang fana ini. Lukman Al-Hakim merupakan seorang cendiakawan yang bijak dan sentiasa menasihati anaknya dengan penuh hikmah. Bagi mendidik anaknya menghadapi realiti kehidupan sebenar berkaitan dengan pandangan orang lain terhadap kita, beliau telah membawa anaknya bersama-sama ke pasar bersama seekor keldai.

Anak naik keldai
Lukman Al-Hakim telah menyuruh anaknya menunggang keldai itu, sementara beliau berjalan kaki bersama-sama sambil memegang tali keldai itu. Apabila melalui sebuah kampung, ramai penduduk kampung itu memandang dengan sinis sambil berkata:

"Sungguh tidak berguna anak itu, sanggup dia yang kuat dan bertenaga naik keldai membiarkan ayahnya yang tua berjalan kaki. Anak yang tidak tahu untung dan mengenang budi serta tidak tahu menghormati bapanya. Anak Derhaka....".

Lukman  Al-Hakim dan anaknya mendengar cercaan orang ramai dengan sabar dan meneruskan perjalanan.  

Ayah naik keldai
Apabila hampir dengan kampung kedua, Lukman meminta anaknya turun dan beliau pula yang menunggang keldai, manakala anaknya disuruh berjalan sambil memegang tali keldai. Sampai sahaja di kampung kedua, orang ramai dengan perasaan marah berkata:

"Bodohnya orang itu, sanggup membiarkan anaknya yang masih kecil berjalan kaki, manakala dia menunggang keldai. Ayah yang tidak berhati perut dan tidak tahu menjaga anak."

Lukman Al-Hakim dan anaknya mendengar cercaan tersebut dengan sabar dan meneruskan perjalanan mereka ke pasar yang ditujui.

Kedua-dua orang naik keldai

Mereka meneruskan perjalanan sehingga sampai ke kampung ketiga, Lukman Al-Hakim turun daripada keldai itu dan berjalan bersama-sama anaknya sambil memegang tali keldai. Orang ramai memandang dengan pelik dan ganjil sambil berbisik-bisik:

"Alangkah bodohnya kedua-dua orang itu. Tidak tahu menggunakan kemudahan yang diberikan oleh Allah. Keldai itu sepatutnya mereka tunggangi, bukanya diheret. Ada otak tapi tidak digunakan untuk berfikir."



Mereka meneruskan perjalanan sehingga sampai di pasar. Akhirnya, Lukman Al-Hakim menjual keldai tersebut di pasar itu supaya tidak timbul lagi celaan orang ramai. Sebelum pulang, Luqman Al-Hakim berkata  kepada anaknya:

“Wahai anakku, sekiranya kamu sentiasa melihat dan mengharap kepada pandangan manusia, tiada apa yang bakal berubah pada keadaannya. Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu daripada percakapan manusia. Sikap manusia tidak akan berasa senang dan gembira dengan orang lain.Orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah SWT sahaja dan sesiapa yang memahami kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu. lakukanlah apa yang menjadi kemaslahatan bagi dirimu, jangan pedulikan kata-kata orang lain. Yakinlah akan dirimu sendiri dan setelah dilaksanakan sebaiknya, maka bertawakallah kepada Allah SWT. Semua hal tadi aku lakukan kepadamu tak lain hanya untuk memberikan suatu pelajaran kepadamu."

Renungilah kisah di atas....jadikanlah pedoman hidup.....

لسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُ

3 komen:

Tanpa Nama berkata...

terbaik

Tanpa Nama berkata...

resam hidup manusia, memang begitu..

Unknown berkata...

ggggg