Pages

Coretan Travelog Hidup Insan Biasa Dalam Meniti Kehidupan Di Dunia Yang Fana

Ahad, 21 Julai 2013

Kalau Tak Dipecahkan Ruyung

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم  Pada satu pagi Ahad lebih kurang lima tahun lalu, aku menunggang motosikal bersiar-siar di sekitar kawasan perumahanku. Terasa diri digigit kebosanan lantaran tidak berbuat apa-apa ketika cuti. Lantas mendorong diri untuk memanaskan  enjin motosikal yang sekian lama tidak dinaiki. Aku menunggang perlahan-lahan sambil menikmati pemandangan persekitaran yang mendamaikan sambil memandang-mandang untuk menemukan sesuatu yang menyentuh hatiku untuk memberhentikan motosikalku.

Lantas, sewaktu aku melintasi di satu lorong perumahan yang masih dalam pembinaan terlintas di hatiku untuk melihat kondisi rumah yang baru dibina itu secara lebih dekat. Aku melangkah masuk ke dalam sebuah rumah yang masih belum siap sepenuhnya. Ketika itu aku terpandang dua orang anak muda Cina yang sedang tekun memasang jubin (tile) lantai rumah tersebut.  Aku senyum kepada mereka apabila mereka menoleh kepadaku. Aku mula mendekati mereka sambil bertanya mengenai kerja mereka itu. Kedua-dua anak muda ini melayan pertanyaanku dengan baik.  Aku sangat tertarik dengan kerja itu tetapi sangat asing bagiku sebagai pekerja kolar putih dan makan gaji dengan kerajaan.

Aku tekun melihat pemasangan yang dibuat secara teliti oleh anak muda tersebut. Seorang memasang jubin, manakala seorang lagi membancuh simen  di dalam beberapa timba yang disediakan.  Ketukan terhadap  jubin agar sama dan kukuh mengalunkan irama yang sedap telinga mendengarnya. Aku masih lagi bertanya beberapa perkara tentang cara pemasangan jubin itu yang mendatangkan persoalan di mindaku. Terdetik di hatiku tidaklah susah sangat memasang jubin yang penting ialah ketekunan dan ketelitian di samping kesabaran yang tinggi. Terlintas di fikiranku untuk cuba memasang jubin lantai di dalam stor aku yang masih berlantaikan simen. Namun, terfikir pula aku ketiadaan alatan seperti yang digunakan oleh anak muda Cina itu.  Setelah beberapa jam berada di situ, hati mula dicuit kejemuan dan mula bergerak melangkah keluar sambil mengucapkan terima kasih kerana melayan karenahku tadi. Aku terus mencapai motosikalku dan beredar dari situ untuk balik ke rumah.

Beberapa minggu selepas itu, aku bertekad untuk cuba memasang jubin di dalam stor aku. Aku terfikir untuk melakukan 'try and error' berdasarkan pemerhatian dan pertanyaan aku pada beberapa minggu yang lalu. Aku tidak bimbang jika tidak cantik kerana orang lain tidak akan nampak kerana berada di dalam stor. Bukannya tempat terbuka untuk dipandang oleh orang lain. Aku mula meninjau-ninjau ke dalam stor dan mengambil tali pita untuk menyukat dan mengira jumlah jubin yang perlu dibeli. Aku berfikir-fikir sama ada untuk membeli jubin yang bersaiz satu kaki atau yang besar. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk membeli jbin bersaiz 1 x 1 kaki. 

Aku terus menuju ke keretaku dan  meluncur laju untuk membeli alat-alat yang diperlukan dan juga jubin. Beberapa jam kemudian aku membawa balik beberapa alat seperti pemotong jubin, pemotong elektrik dan sudip serta alat perata. Isteriku melihat dengan senyuman yang manis dan bertanya tujuan pembelian alat tersebut. Aku menjawab ringkas untuk memasang jubin stor sambil membawa keluar alat-alat tersebut dari keretaku.

Alat Pemotong Jubin

Sudip dan Perata Simen
Alat Pemotong Elektrik

Selepas itu aku menunggu tauke kedai untuk menghantar jubin dan beberapa kampit simen ke rumahku. Beberapa jam kemudian kelihatan lori penghantar jubin dan simen tersebut. Aku mula menukar pakaianku untuk memulakan misi cuba jaya memasang jubin kali pertama dalam sejarah hidupku. Pada peringkat awal memang aku menghadapi masalah kerana simen begitu cepat kering menyebabkan aku sukar untuk melekatkan jubin di atas simen. Masalah ini berlaku kerana aku terlupa pesan anak muda Cina dulu bahawa sebelum memasang jubin mesti rendam di dalam air.  Setelah aku merendam jubin di dalam air barulah masalah tersebut dapat diselesaikan.  Pada peringkat mula-mula, pinggangku mula sakit sehingga sukar untuk sembahyang. Tetapi masuk beberapa hari kesakitan itu mula beransur pulih kerana ibarat kata peptah Melayu "alah bisa kerana biasa". Setelah beberapa hari bergelumang dengan pelbagai masalah dan rintangan akhirnya aku berjaya memasang jubin di dalam stor aku. Memang aku akui mustahil pemasangan kali pertama tanpa latihan formal hanya melalui pemerhatian beberapa jam dapat menghasilkan sesuatu yang menakjubkan.  Namun, aku puas hati hasil usahaku sendiri. Aku puas hati percubaanku berjaya dan terlintas di fikiranku orang Melayu pun boleh buat. Lihatlah sendiri hasilnya. Puas hatiku. Horeyyyyyyyyy, aku berjaya. Tahniah! untuk diri sendiri.
 وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Lihatlah! cantik tak?





0 komen: