Pages

Coretan Travelog Hidup Insan Biasa Dalam Meniti Kehidupan Di Dunia Yang Fana

Jumaat, 9 Ogos 2013

Halusnya Kesenian Melayu

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم Travelogku meneruskan bicara pada kali ini dengan berkogsi pengalaman membuat pagar rumah dengan menggunakan kayu cengal lama. Aku memang berminat melihat rumah Melayu yang berukiran kayu yang jelas mencernakan nilai estetika orang-orang Melayu lama. Justeru, aku bertekad untuk membuat pagar kayu yang akan aku ukir sendiri.


Pagar Bunga Kayu
Peringkat awal aku bertanya dengan jiranku tempat aku boleh mendapatkan kayu cengal lama. Aku diberitahu terdapat satu tempat di Kota Wira, Jalan Batu Kurau yang menjual kayu lama. Aku pun pergi mencari dan setelah bertanya orang barulah aku menemui kedai kayu lama yang dipunyai oleh seorang India tua. Setelah aku menerang kepadanya tujuan aku datang dia bersetuju untuk membelah tiang kayu cengal menjadi papan berukiran 3.6 kaki panjang dan  5 inci lebar.

Kayu cengal
Selepas aku membeli kayu terfikir pula corak bunga yang hendak aku buat. Jadi ketika waktu rehat bekerja aku melayari internet untuk melihat contoh-contoh ukiran kayu yang telah dibuat oleh orang lain. Akhirnya aku pun menemui corak yang telah aku ubahsuai sedikit mengikut kemahuan aku. Setelah itu aku melukis corak tersebut di atas kertas tebal dan menebuknya untuk dijadikan acuan. Kertas acuan ini aku gunakan untuk melukis di atas kayu  sebelum aku menebuk untuk membuat bunga.

Ukiran bunga atas kertas
Aku membeli sebuah mesin jigsaw untuk membuat ukiran bunga tersebut. Aku juga meminjam sebuah mesin jigsaw daripada jiranku. Aku juga telah mempunyai mesin 'drill' yang diperlukan untuk membuat lubang di atas papan untuk membolehkan mata 'jigsaw' digunakan untuk membentuk ukiran bunga.

Pagar depan rumah
Mula-mula aku membuat bunga untuk dipasang di bahagian depan rumahku. Sebanyak 44 keping bunga telah aku buat daripada papan kayu cengal. Aku menggunakan kayu 2x2 inci untuk membuat 'frame' bagi meletakkan papan ukiran kayuku. Pemasangan bahagian ini sangat rumit kerana kesukaran untuk menebuk lubang supaya selari di atas 'frame'.

Kedua-dua bahagian pagar depan
Kesabaran dan ketelitian yang tinggi diperlukan untuk menghasilkan pagar yang kemas dan cantik. Namun, semua masalah itu tidak membuatkan aku rasa bosan, sebaliknya menjadi cabaran kepada aku untuk menyiapkan pagar tersebut.

Pagar kecil sebelah kanan rumah
Setelah siap di bahagian depan, aku mula memasang papan ukiran kayu di pagar kecil bahagian depan rumahku. Sebanyak 12 keping ukiran kayu digunakan untuk memenuhkan bahagian tersebut.
Pagar utama depan
Akhirnya, aku mula memasang pagar utama bahagian depan yang paling banyak menggunakan ukiran kayu. Sebanyak 35 keping ukiran kayu yang panjangnya 31/2 kaki dipasang pada 'frame' besi tempawan yang aku tempah daripada kawanku. Bahagian yang paling sukar untuk dibuat ialah untuk menebuk besi tempawan tersebut yang sangat keras dan memerlukan masa yang agak lama.


Inilah pagar utama rumahku
Sebenarnya untuk menghasilkan ukiran kayu seperti di atas aku terpaksa melakukan beberapa peringkat kerja seperti melukis bunga atas kertas tebal, memotong untuk membuat acuan melukis, melukis di atas papan, menebuk dan mengukir dengan menggunakan mesin 'jigsaw' dan melicinkan permukaan bunga dengan 'sander'. Untuk menghasilkan bunga yang licin dan nampak berkilat aku menyapu ukiran bunga itu dengan 'solar screen' mahagony sebanyak tiga kali.

Solar screen
Setelah bertungkus-lumus selama lebih kurang dua bulan, maka siaplah pagar rumahku yang dihiasi dengan seni ukiran Melayu lama. Aku berasa cukup puas dan gembira kerana keinginanku untuk membuat pagar seperti itu tercapai. Selain itu, apa yang lebih penting aku dapat pagar yang aku idam-idamkan dengan kos yang rendah berbanding dengan orang lain yang mengupah tukang kayu terpaksa membelanjakan ribuan ringgit. Alhamdulillah. Tercerna keindahan dan kehalusan seni ukiran orang-orang Melayu di rumahku.         وَ  السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
























1 komen:

Aiman Farid berkata...

Rajinnya cik latib membuat ukuran dan mengukir kayu cengal.,mungkin boleh dijadikan bidang perniagaan bila tamat tempoh perkhidmatan kelak..insyaAllah..