Pages

Coretan Travelog Hidup Insan Biasa Dalam Meniti Kehidupan Di Dunia Yang Fana

Jumaat, 9 Ogos 2013

Hari Kemenangan, Kembali Kepada Fitrah

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم Hadirmu Syawal, pergimu Ramadhan Al-Mubarak, hatiku berasa sedih bercampur kegembiraan. Pagi-pagi lagi aku sudah bangun dan mengejutkan isteri dan anak-anakku untuk membuat persiapan menyambut hari raya eidul fitri. Setelah berpakaian cantik aku, isteri dan anak-anak bergerak untuk bersembahyang hari raya di surau tamanku pada pukul 9.00 pagi. Lebih kurang pukul 11.00 pagi kami semua pulang semula ke rumah ibu bapaku untuk bersalam-salaman dan bermaaf-maafan terutama dengan ibu dan bapaku. Pada tahun ini seramai empat keluarga saja beraya bersama-sama di rumah ibu bapaku. Manakala empat abang dan adikku yang lain beraya di rumah mentua mereka. Pada tahun hadapan giliran mereka pula beraya di rumah ibu bapaku manakala aku akan beraya pula di rumah mentuaku.

Ayah dan ibu tersayang
Kami semua memohon kemaafan daripada kedua ibu bapa yang sangat kami sayangi. Sebagai anak sudah pasti banyak kesalahan dan kesilapan yang dilakukan oleh kami semua secara disedari atau tidak disedari. Bagi kami yang masih mempunyai kedua ibu bapa, inilah saat paling gembira merayakan eidul fitri.

Kemaafanmu dipohon
Selepas selesai memohon kemaafan daripada kedua ibu bapa, kami sekeluarga berpeluk-pelukan masing-masing memohon kemaafan sekiranya ada kesalahan dan kesilapan antara adik-beradik.

Erat berpeluk-pelukan memohon maaf
Begitu juga dengan anak-anak dan saudara yang lain masing-masing gembira bertemu dan maaf-bermaafan. Alangkah gembira dan eratnya perhubungan.

Dalam kegembiraan berpeluk-pelukan
Selepas itu, seperti biasa tibalah masa memberikan duit raya kepada anak-anak dan anak saudara. Saat-saat inilah yang ditunggu oleh anak-anak. Begitulah lumrah kehidupan kanak-kanak.

Mana duit raya?
Selepas mendapat duit raya, tersenyum kegembiraan. Setahun sekali, inilah masa untuk mengumpul pulus untuk membeli handphone baru atau untuk 'top-up'. Inilah lumrah kehidupan anak-anak zaman globalisasi, berbeza dengan zaman aku dulu.

Seronoklah tu, dapat duit raya
Setelah selesai bermaaf-maafan dan memberi duit raya, tibalah masanya untuk kami sekeluarga bergambar beramai-ramai untuk kenang-kenangan. Anakku yang memang mahir menggunakan kamera mula membuat persiapan untuk merakamkan memori ini.

Kenangan ayah dan ibu bersama anakanda
Bergambar secara beramai-ramai ini memang sukar dibuat kerana masing-masing sibuk dengan kerja dan sukar untuk bertemu semua. Jadi inilah peluang yang ada apabila dapat berkumpul bersama-sama.

Kenanga ayah dan ibu bersama menantu
Walaupun tahun ini keluarga kami tidak dapat berkumpul semua kerana ada yang beraya bersama mentua, tapi suasana sambutan masih meriah dan penuh kesyukuran.

Kenangan bersama cucu
Syukur kepada Alalh SWT kerana ibu dan ayahku masih ada dan rumah di kampungku menjadi tempat pertemuan kami semua semasa berhari raya. Cuma aku dan isteri agak sedih sikit kerana anak sulungku, Kak Yong terpaksa beraya di perantauan demi memburu cita-citanya. Kami semua merinduimu wahai anakku, semoga bergembira menyambut hari lebaran di tempat orang. Doa kami semoga Kak Yong berjaya mencapai cita-cita, InsyaAllah.

Kenangan bersama semua
Setelah selesai bergambar,  kami semua mula menuju ke rumah saudara dan jiran untuk berhari raya sehingga ke petang. Pada waktu malam kami sekeluarga berehat di rumah sambil berbual-bual apabila sesekali bertemu. وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
























0 komen: