Pages

Coretan Travelog Hidup Insan Biasa Dalam Meniti Kehidupan Di Dunia Yang Fana

Jumaat, 9 Ogos 2013

Pergimu DiTangisi, Hadirmu Dinantikan

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم Salam Ramadhan Al-Mubarak, hari ini 29 Syawal 1435 Hijrah merupakan hari terakhir kita berpuasa. Terasa begitu cepat detik masa berlalu meninggalkan kita. Aku teringat kata-kata seorang ustaz yang mengajar di surau di tamanku bahawa itu antara tanda-tanda akhir zaman. Adakah aku berpeluang lagi bertemu dengan Ramadhan yang penuh keberkatan ini pada tahun akan datang?. Doaku semoga Allah akan panjangkan umurku dalam kebajikan sehingga bertemu lagi Ramadhan akan datang. Pada tahun ini aku akan beraya di kampungku di Taiping. Kira-kira pukul 9.00 pagi aku bertolak ke rumah ibu bapaku bersama keluargaku untuk membuat persiapan menyambut hari raya idul fitri. Aku dan adikku akan membakar lemang dan isteri dan adik iparku akan membantuk ibuku untuk membuat ketupat serta rendang daging dan ayam. Apabila aku tiba adikku sedang memasukkan daun pisang ke dalam buluh lemang.

Memasukkan daun pisang ke dalam buluh
Dalam soal membuat lemang ini, adikku lebih mahir dan berpengalaman. Aku hanya membantu apa yang perlu sahaja. Kami bercadang untuk membakar lemang sebanyak dua gantang. Jadi aku telah membeli santan sebanyak tiga kilogram. Sukatan yang kami selalu buat satu gantang pulut, satu kilo santan.

Buluh yang siap dimasukkan daun pisang
Selepas itu, kami menyiapkan tempat membakar dan mula menghidupkan api di bawah bangsal yang terletak di sebelah rumah ayah dan ibuku. Kami menggunakan dahan kayu manggis dan kayu-kayu buangan untuk membakar lemang.

Tempat membakar lemang

Selepas itu, kami memasukkan pulut yang sudah dibasuh oleh ibuku ke dalam buluh serta dimasukkan santan yang sudah dicampur garam sesedap rasa. Pulut yang dimasukkan ke dalam buluh tidak  terlalu penuh untuk mengelakkan pulut tumpah semasa mendidih nanti.

Memasukkan pulut ke dalam buluh
Pada kali ini aku  ingin membuat eksperimen memasak lemang yang dicampurkan santannya dengan air krim soda. Aku diberitahu oleh sahabatku, Razak yang menjadi Seiausaha surau tamanku lemang akan bertambah sedap jika dicampur dengan air itu. Namun aku hanya mencuba dua batang saja sebagai percubaan. Jika berjaya, pada tahun-tahun akan datang semua lemang akan dicampur dengan air soda.

Air krim soda
Setelah semua selesai, buluh-buluh tersebut diletakkan di tempat  membakar yang telah disipakan tadi. Jarak kedudukan buluh dan api perlu sesuai supaya lemang masak dengan sempurna dan tidak hangit. Begitu juga dengan api perlu dijaga supaya tidak terlalu marak untuk mengelakkan lemang masak terkejut.

Lemang sedang dibakar
Sekiranya ketika sedang dibakar santan kering sebelum mendidih maka kita perlu tambah santan lagi supaya lemang tidak hangit. Dalam hal ini aku serahkan kepada anak saudaraku, Zamir yang bekerja di Terengganu yang turut membantu membakar lemang.

Santan ditambah
Buluh lemang juga perlu sentiasa dialih-alihkan supaya tidak hangit sebelah dibakar api. Kerja-kerja ini memerlukan kesabaran kerana api terlalu panas. Namun itu tidak menjadi masalah jika kita minat melakukannya.

Buluh sentiasa dialih-alihkan
Ketika aku dan adikku sibuk membakar lemang, isteri, ipar, anak saudara dan ibuku sibuk didapur untuk memasak rendang dan membuat ketupat. Sebanyak tiga cupak pulut ditanak  untuk dibuat ketupat.

Membungkus ketupat

Setelah lemang sudah mendidih dan dirasakan pulut sudahpun masak di bahagian dalamnya, kita perlu mengubah kedudukan buluh supaya lebih rendah agar pulut di bahagian atas buluh masak dengan baik. Manakala api hendaklah dipastikan tidak terlalu marak.

Kedudukan buluh direndahkan
Akhirnya, setelah dirasakan lemang sudah hampir masak, api dipadamkan menjadi bara saja dan buluh lemang dibiarkan beberapa ketika bagi memastikan pulut masak lebih sempurna dan sekata sebelum diangkat.

Buluh disalai beberapa ketika
Alhamdulillah lebih kurang enam jam bermain dengan api akhirnya lemang tersebut siap untuk dimakan, tapi perlu sabar sehingga tiba buka puasa. Apabila tiba waktu berbuka selepas makan kurma, aku terus mengambil lemang air krim soda yang dibuat eksperimen tadi. Menakjubkan! apabila dibuat perbandingan memang lemang tersebut lebih sedap dan mempunyai aroma yang lebih harum. Alhamdulillah, percubaan ini berjaya dan InsyaAllah pada tahun-tahuan akan datang semua lemang yang dibakar akan ditambah dengan air krim soda. Sekiranya pembaca-pembaca berminat, silalah cuba resepi ini, pasti tidak mengecewakan.

Menjadi juadah berbuka puasa
Selesai sembahyang Isya', anak-anak saudara aku paling gembira kerana masa untuk bermain bunga api bermula. Begitulah karenah anak-anak kecil, setahun sekali bermain bunga api. Alangkah gembiranya. Terkenang pula juga kanak-kanak di Palestine dan di Syria merayakan hari lebaran dengan dentuman senjata api dan meriam.Sungguh menyedihakan nasib umat Islam.


Saat gembira anak-anak saudaraku
Namun bagi aku yang telah dewasa saat-saat ini berasa sedih kerana berakhirnya bulan tarbiyah yang penuh dengan ganjaran dan tawaran Allah kepada hambanya yang bertaqwa. Teringat aku tazkirah ustaz di surau taman aku yang memberitahu Rasulullah SAW pernah bersabda "Celakalah orang-orang yang keluar daripada bulan Ramdhan tanpa mendapat keampunan daripada Allah SWT.". Ya, Allah Ya Tuhanku, janganlah aku, ibu bapa dan keluargaku termasuk dalam golongan tersebut. Ramadha! pergimu ditangisi, semoga berjumpa lagi pada tahun hadapan. Dalam masa yang sama terdetik kegembiraan di hatiku menjelangnya 1 Syawal yang penuh kemuliaan yang ditunggu-tunggu oleh orang-orang beriman untuk meraikan kemenangan hasil daripada tarbiyah pada bulan Ramadhan. Idul Fitri, kehadiranmu kunanti-nantikan dengan penuh kesyukuran. Allahhuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Walillah Hilham.  وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ





0 komen: