Pages

Coretan Travelog Hidup Insan Biasa Dalam Meniti Kehidupan Di Dunia Yang Fana

Isnin, 5 Ogos 2013

Kemahuan Mengatasi Segala-galanya

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم Salam Ramadhan Al-Mubarak,  syukur kerana kita masih lagi diberi peluang oleh Allah untuk berada dalam bulan penuh rahmat ini kerana kita tidak pasti adakah kita masih diberi peluang lagi untuk berada dalam bulan mulia ini pada tahun hadapan. Travelogku meneruskan coretan kali ini dengan berkongsi pengalaman melakukan sendiri membuat longkang dengan menggunakan gelung pvc berukuran 6 inci. Aku telah membeli sebanyak 6 batang gelung tersebut untuk ditanam di bahagian belakang dan bahagian tepi rumah aku. Harga sebatang gelung tersebut ialah RM55.00.

Longkang PVC 6"
Pada peringkat awal aku terpaksa memecahkan longkang sedia ada dan membuat lubang untuk menanam gelung PVC ini. Aku menggunakan mesin pemecah elektrik yang aku pinjam daripada kawan aku. Kerja-kerja pemecahan longkang sedia ada mengambil masa beberapa hari dan sangat meletihkan. Tetapi semua itu tidak menjadi masalah kerana aku suka melakukannya.
Kerja-kerja pemecahan longkang sedia ada
Setelah selesai pemecahan longkang sedia ada lubang digali untuk membolehkan paip atau gelung pvc itu ditanam di dalam tanah. Lubang yang digali perlulah mempunyai kecerunan yang membolehkan air mengalir dan tidak bertakung. Jika air bertakung sudah pasti akan menjadi sarang pembiakan nyamuk dan berbau busuk.


Lubang untuk menanam paip pvc
Selepas lubang digali paip pvc dimasukkan ke dalam lubang tersebut untuk ditanam. Kerja-kerja penanaman paip perlu berhati-hati supaya mempunyai kecerunan yang membolehkan air mengalir. Oleh itu, alat penimbang air perlu digunakan untuk menentukan kecerunan pengaliran air.

Paip yang telah ditanam
Seterusnya permukaan longkang tersebut mestilah ditutup dengan simen supaya nampak cantik dan mengelakkan paip pvc pecah. Aku membancuh simen di atas kereta sorong supaya memudahkan aku membawa simen itu ke tempat yang diperlukan. Bancuhan simen mesti dibuat dengan betul supaya permukaan yang hendak ditutup nanti kukuh dan tidak mudah retak.

Membacuh simen dengan pasir
Simen yang telah dibancuh diratakan di atas paip pvc supaya menutupi keseluruhan paip tersebut. Perataan permukaan tersebut memerlukan kemahiran dan kesabaran supaya nampak kemas dan licin. Sekiranya bancuhan simen tidak betul maka kerja-kerja perataan akan menjadi sukar dan bermasalah.

Kerja-kerja meratakan permukaan longkang bawah tanah
Pada bahagian tepi rumah aku permukaan longkang bawah tanah aku taburkan pasir dan kelikir untuk menutupi permukaan simen. Pada bahagian ini aku bercadang untuk membina pagola suatu masa nanti. Setelah lebih kurang seminggu akhirnya aku berjaya menyiapkan kerja-kerja pemasangan paip pvc sebagai longkang bawah tanah di rumahku. Sungguh puas hatiku melihat hasil kerja sendiri di samping dapat menjimatkan belanjaku. Walaupun sebelum ini aku tidak pernah membuat kerja-kerja ini tapi oleh kerana ada kemahuan maka segala-galanya dapat diatasi dengan mudah. وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Permukaan longkang bawah tanah yang ditutupi pasir sungai dan batu kelikir

0 komen: