Pages

Coretan Travelog Hidup Insan Biasa Dalam Meniti Kehidupan Di Dunia Yang Fana

Ahad, 4 Ogos 2013

Menyempurnakan Sesuatu Yang Kurang Sempurna

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم Salam Ramadhan, hari ini puasa telah memasuki hari yang ke-26 pada fasa pembebasan dari api neraka. Malam ini merupakan malam yang ke-27 ramadhan yang merupakan salah satu malam-malam ganjil dalam sepuluh malam terakhir. Semoga kita mendapat kerahmatan, pengampunan dosa dan akhirnya terlepas daripada api neraka, insyaAllah. Travelogku kali ini akan berkongsi pengalaman aku membuat ukiran kayu untuk dipasang kepada tangga rumah emak dan ayahku di kampung.
Tangga rumahku di kampung
Oleh sebab aku sibuk dengan kerja-kerja aku,  maka aku telah meminta tangga ini dibina oleh tukang rumah yang aku kenal. Namun, aku sungguh tidak berpuas hati dengan seni pembuatannya yang kasar dan tidak kemas. Masalah seperti inilah yang menyebabkan aku lebih suka buat sendiri daripada mengupah orang lain. Upah mahal, tapi seni pembuatan tidak kemas dan cantik. Tapi apa boleh buat kerana kekangan masa dan kerja terpaksalah suruh orang lain buat. Aku hanya membuat ukiran kayu dan memasangnya di tangga tersebut untuk menampakkan seni Melayu lama.

Inilah sebahagin ukiran bunga yang akan dipasang
Nasib baiklah seni pembinaan yang tidak kemas itu dapat dilindungi sedikit sebanyak oleh ukiran kayu yang di pasang di tangga kayu tersebut.Aku membuat ukiran kayu ini di rumahku, kemudian aku hanya memotong ukiran kayu ini di rumah emak dan ayahku untuk disesuaikan dengan tangga kayu tersebut. Sebanyak tiga belas keping ukiran kayu yang akan dipasang di bahagian beranda dan bahagian tepi tangga batu itu.

Proses memotong selepas diukur
Selepas selesai memotong mengikut ukuran yang dikehendaki, aku mula melicinkan permukaan papan ukiran kayu tersebut dengan menggunakan 'sander' supaya nampak cantik, licin dan menarik. Kerja-kerja melicinkan permukaan papan ini memerlukan aku memakai penutup muka untuk mengelakkan debu-debu halus daripada memasuki hidungku. Rumit juga kerjanya. Tapi kerana minat itu semua bukanlah menjadi masalah kepada aku.

Proses melicinkan permukaan ukiran kayu
Setelah semua proses tersebut selesai barulah aku mula memasang ukiran kayu itu di bahagian beranda tangga tersebut. Sebanyak tujuh keping ukiran kayu untuk memenuhkan ruangan ini. Pemasangan pada bahgaian ini tidaklah begitu rumit tetapi memerlukan kesabaran supaya pemsangan dapat dibuat dengan kemas.

Pemasangan di beranda
Untuk memenuhkan sebelah kiri dan kanan ruang ini aku terpaksa membelah sekeping ukiran kayu menjadi dua kerana ruangan yang sempit. Lihatlah gambar di bawah selepas proses pemasangan selesai. Alhamdulillah siaplah bahagian ini tanpa banyak masalah dihadapi.


Ruangan beranda
Seterusnya, aku mula memasang  pada bahagian pemegang tangga itu pula. Untuk memenuhkan ruangan ini sebanyak enam keping ukiran kayu digunakan. Pemsangan pada bahagian ini agak rumit kerana terpaksa memotong serong pada bahagian atas papan ukiran.  Namun, tidaklah menjadi masalah kerana pemotongan dibuat menggunakan gergaji elektrik.

Pemsangan di bahagian pemegang tangga
Setelah lebih kurang empat jam, akhirnya pemasangan ukiran kayu di tangga kayu ini selesai. Setelah siap dipasang aku menyuruh anakku untuk menyapu 'solar screen' supaya nampak licin dan cantik.

Akhirnya siaplah kerja aku memasang bunga tersebut. Aku berasa puas hati dengan kerja tangan aku walau pun kurang berpuas hati terhadap pembuatan tangga kayu oleh orang lain. Namun, ukiran kayu ini dapat mengurangkan kecacatan yang terdapat pada tangga kayu ini. Syukur alhamdulillah aku dapat menyelesaikan kerja ini dalam bulan yang penuh kerahmatan dan keberkatan. وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Tangga kayu yang sudah siap dipasang ukiran kayu


0 komen: