Pages

Coretan Travelog Hidup Insan Biasa Dalam Meniti Kehidupan Di Dunia Yang Fana

Ahad, 28 Julai 2013

Hikmah Di Sebalik Sesuatu Kejadian

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم Pada hari Sabtu bersamaan 27 Julai 2013 aku telah bertolak ke KLIA untuk menghantar anak aku yang telah habis bercuti selama lebih kurang tiga bulan. Pada kira-kira pukul 12.30 petang aku telah bertolak dari rumah emakku setelah anakku mendapat restu emak dan ayahku. Kami tiga beranak saja yang pergi kerana dua orang anakku  yang lain tidak mahu pergi kerana bulan puasa. Lebih kurang pukul 3.30 kami singgah di Seksyen 7 Shah Alam sebab isteriku ingin membeli-belah. Kelihatan orang ramai berpusu-pusu membeli-belah dan aku sukar untuk mendapatkan tempat letak kereta kerana tempat tersebut sesak dengan kereta orang ramai.

Gedung Gergasi Jakel
Setelah lebih kurang dua jam, kami pun beredar dari situ meninggalkan kesibukan orang ramai berpusu-pusu membeli-belah untuk persiapan menyambut hari raya yang menjelang tiba. Kami singgah sebentar  di pasar ramadhan untuk membeli sedikit juadah berbuka puasa. Setelah selesai membeli juadah kami meneruskan perjalanan memasuki Lebih Raya Persekutuan dan terus melalui  Lebuh Raya Elite ke KLIA. Kira-kira pukul 6.30 petang kami berhenti di R&R Dengkil untuk berehat dan menunggu ketibaan masa berbuka puasa. Kami bertolak ke KLIA kira-kira pukul 8.30 malam selepas selesai solat maghrib. Kami tiba di KLIA kira-kira pukul 9.00 malam. Setelah tiba, tempat pertama kami tujui ialah tempat penimbang barang bagi memastikan beg anakku, Kak Yong tidak melebihi 30 kg. Setelah ditimbang, alamak lebih daripada 30kg jadi terpaksalah isteri dan anakku  membuang sedikit bekalan makanan  supaya tidak melebihi 30kg. 

Beg melebihi 30 kg
Selepas selesai, kami pergi ke tempat membungkus beg dengan plastik supaya beg tidak pecah dan barang-barang di dalamnya selamat. Kos membalut beg itu kiran-kira RM20.00, emm..semuanya duit.Setelah itu, anakku pun berbaris untuk 'check in'. Apabila tiba di kaunter anakku diberitahu tiada tempat duduk lagi sebab telah penuh penerbangan dari KL transit di Armsterdam. Aku bertanya kepada kerani kaunter itu kenapa boleh jadi macam itu sebab tiket tersebut telah dibayar lebih kurang tiga bulan lalu. Dia melayan aku dengan baik dan memohon maaf atas kesilapan yang berlaku. Sebagai pilihan dia menawarkan penerbangan lain pada pukul 11.40 malam kelas perniagaan (business class)  tanpa membuat apa-apa bayaran. Anakku bersetuju dan penerbangan selama 13 jam itu akan transit di Lapangan Heathrow. Kami juga diberi voucer untuk minum dan makanan. Syukur alhamdulillah, ada hikmah di sebalik sesuatu yang berlaku.

Saat sebelum berpisah
Akhirnya, Kak Yong selamat bertolak kira-kira pukul 12.00 malam. Selamat berpuasa dan berhari raya di perantauan, wahai anakku sayang. Ayah dan emak serta adik-adik sentiasa merindui dan mendoakan kejayaanmu. Amin. Aku dan isteriku meninggalkan KLIA kira-kira pukul 12.00 malam untuk terus balik ke Taiping. Oleh sebab terlalu mengantuk kami tidur di RTC Simpang Pulai dan tiba di rumah kira-kira pukul 7.00 padi hari Ahad.



Khamis, 25 Julai 2013

Berani Cuba Pasti Jaya

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم Travelogku untuk 'post' kali ini ingin berkogsi pengalaman tentang pemasangan palung air hujan di bumbung rumah aku. Aku memasang palung ini dengan tujuan supaya air hujan terus masuk ke dalam longkang yang aku buat tanpa menitis di bahagian tepi rumah aku. Aku telah membeli sebanyak 6 buah palung berukuran 20 kaki setiap satu berharga  RM75 setiap satu. Menurut tauke Cina yang menjual palung ini kos untuk memasang palung ini sangat mahal. Jadi untuk menjimatkan kos aku pun pasang sendiri.

Palung Bahagian Tepi Kanan Rumah
Selain palung aku juga membeli paip, L dan gam pvc untuk tujuan pengaliran air ke longkang. Dalam pemasangan paip ini bahagian yang paling susah ialah untuk memasang pemegang palung  pada hujung bumbung. Pemasangan pemegang  ini sangat rumit kerana perlu berhati-hati supaya air tidak bertakung di dalam palung. 
Palung Mesti Ada Kecuraman
Masa paling banyak digunakan semasa memasang pemegang palung. Pemasangan pemegang palung paling sukar ialah di hujung bumbung metedec. Aku terpaksa memotong dahulu bahagian hujung yang melengkung dengan 'grinder' bagi membolehkan palung dipasang.Tapi alhamdulliah berkat kesabaran aku berjaya juga memasangnya.

Bahagian Bumbung Paling Sukar Di Pasang
Selain itu, aku juga memasang palung air di pondok klasik aku supaya air hujan tidak terkena kepada bunga bahagian bawah pondok. Aku bimbang kalau selalu terkena air hujan bunga tersebut akan reput. Pemasangan palung di pondok aku itu tidak susah dan sekejap saja siap. Alhamdulillah setelah bertungkus-lumus selama lebih kurang empat  hari maka siaplah palung aku itu. Tahniah untuk diri sendiri walau  pun tidak pernah pasang palung itu tetapi dapat menyiapkannya dengan baik. Tahniah!!!!!

Palung di Pondok Klasik


Tidak Lapuk Di Hujan, Tidak Lekang Dek Panas.

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم Travelogku kali ini berkisar pula kepada pembinaan pondok rehat yang berada di sebelah kanan rumahku. Pondok rehat ini merupakan ilham idea isteriku yang sejak dari dulu bercita-cita untuk mendapatkan pondok rehat seperti ini. Pada peringkat awal aku buat-buat tidak tahu saja apabila isteriku memberikan idea itu. Tetapi lama kelamaan aku pun mengalah dengan desakannya hendak membina pondok rehat seperti gambar di bawah ini.

Pandangan Sisi

Tiang untuk membina pondok ini aku dapat percuma saja kerana diberi oleh sahabatku yang membiarkan kayu-kayu yang elok ini tersadai di hadapan rumah ayahnya. Aku minta beli daripadanya tetapi alhamdulillah dia beri percuma saja sebab dia tidak mahu tiang-tiang itu. Tiang-tiang itu datang dari rumah lama dan tiang elektrik. Jadi dapatlah aku menjimatkan kos.

Tengoklah Tiang-Tiangnya
Oleh sebab aku kesibukan,  untuk pembinaan pondok ini aku hanya buatkan dasarnya dan memasang mozaik saja. Bagi bahagian-bahagian lain aku upah jiran aku yang membuatnya. Jiran aku ini pun tukang juga seperti aku jugalah yang buat kerja separuh masa. Pondok aku ini dihiasi dengan ukiran kayu supaya nampak klasik. Untuk papan ukiran kayu pada bahagian bawah itu aku dapatkan secara percuma daripada biras aku yang tinggal di Pendang. Jimat kos lagi, perlu pandai untuk selamatkan duit kita. 

Inilah Corak Bunga Pada Bahagian Bawah
Pada bahagian atas pula, corak bunganya lain pula supaya nampak ada variasi. Tengoklah gambar di bawah cantik tak ukiran bunga itu. Nampak seninya orang-orang Melayu. Pondok ini telah mendapat perhatian ramai orang yang berminat dengan ukiran kayu Melayu yang tinggi nilai estetikanya.


Ketinggian Nilai Estetika Melayu
Manakala pada bahagian bumbung pondok ini pula dihiasi dengan siling anyaman pokok bertam yang dibeli dari Batu Kurau. Di bumbung itu aku juga meletakkan sebuah kipas supaya dapat menyejukkan badan kita berehat pada waktu siang yang panas. 

Siling Bertam
Nampak klasik dan berestetika apabila menggabungkan ukiran kayu ini dengan siling bertam  itu. Jarang-jarang pada masa sekarang kita nampak kesenian Melayu itu di rumah-rumah moden sekarang. Aku harap kesenian ini tidak akan hilang ditelan zaman.

Sebuah Kipas Penyejuk Badan

Pondok rehat ini dibina bersambung dengan kolam air terjun yang aku ceritakan dulu. Jadi sambil berehat di bawah pondok yang klasik ini boleh menikmati keindahan dan kenyamanan kolam air terjun. Tenang fikiran dan lupa masalah kerja yang banyak. Untuk lebih nampak klasik isteriku telah membeli satu set bangku duduk kayu jati Indonesia. Cuba lihat gambar di bawah nampak klasikkan. 

Kerusi Kayu Jati
 Untuk nampak lebih klasik lagi, kayu berukiran bulat di atas yang diletakkan sebagai tiang tempat masuk dan keluar aku telah tempah dari Pendang. Tempahan itu semua dibuat oleh biras aku. Jadi dari bahagian atas sehinggalah ke bawah semuanya berukiran yang  menampakkan kesenian Melayu yang halus dan cantik. Kebanyakan tetamu yang datang ke rumah aku suka duduk santai di bawah pondok ini daripada masuk ke dalam rumahku. Begitulah hebatnya nilai kesenian Melayu.

Inilah Pondok Isteriku



Rabu, 24 Julai 2013

Kalau Ada Kemahuan, Di situ Ada Jalannya.

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم Travelogku kali ini ingin menceritakan tentang kolam dan air terjunku yag terletak di bahagian depan kanan rumahku. Aku membina air terjun ini untuk tujuan mendapat ketenangan dengan desiran air ketika rehat selepas penat bekerja. Sebenarnya bukan senang untuk mendapatkan idea untuk membina kolam dan air terjun yang bertingkat ini. Setelah beberapa lama melihat air terjun yang terdapat di dalam Majalah Laman dan   Anjung Seri akhirnya barulah datang idea untuk membina kolam dan air terjun itu.

Pandangan Depan

Peringkat awalnya,  aku membina kolam air dengan keluasan yang sesuai dengan bahagian depan rumahku itu. Oleh sebab aku tidak pernah membina kolam bimbang juga kalau-kalau  berlaku kebocoran. Maka aku pun berfikir bagaimana hendak memastikan dasar kolam itu kuat dan air tidak bocor. Fikir punya fikir maka aku membuat keputusan untuk membuat beberapa lapisan menggunakan simen pelekat dicampur dengan simen biasa. Mula-mula terfikir juga hendak meletakkan plastik sebab ada kawan-kawan yang memberikan pendapat begitu. Tetapi aku rasa tidak perlu kerana aku telah membuat tiga lapisan simen. Alhamdulillah sehingga kini lebih kurang tujuh tahun kolam aku masih elok dan tidak bocor.

Pandangan Tepi
Setelah kolam siap barulah aku mula membuat binaan air terjun yang bertingkat-tingkat. Pada peringkat awalnya susah juga hendak fikir macam mana hendak buat bertingkat tanpa menggunakan tiang. Maksud aku binaan seperti yang nampak di atas hanya melekat kepada dinding rumah. Fikir punya fikir dapatlah idea menggunakan besi yang dibengkokkan seperti huruf  L dan diletakkan dawai di atasnya. Ramai juga kawan aku yang bertanya bagaimana  aku melekatkan batu-batu itu. Aku kata  itu rahsia kalau hendak mesti bayar, he..he.

Tangki Pam dan Penapis Air
Pada bahagian tepi kiri kolam aku buat tiga penakung air untuk meletakkan pam dan dua penapis air supaya air sentiasa bersih. Pada peringkat awal dulu aku hanya letakkan pam dalam kolam, tetapi nampak tidak cantik. Oleh sebab itu aku bina baru di bahagian tepi yang dapat dilihat dalam gambar di atas. Alhamdulillah sejak bina dulu aku tidak pernah cuci airnya sebab sentiasa bersih dan jernih. Lihatlah betapa jernihnya air sehingga nampak ikan-ikan yang sedang bermain-main.

Kelihatan Ikan Sedang Bermain-Main
Aku buat kolam ini lebih kurang sebulan lebih sebab buat sikit-sikit apabila balik daripada kerja. Aku hanya boleh buat sepenuh masa pada hari Sabtu dan Ahad, itu pun kadang-kadang tidak boleh juga buat kerana buat urusan lain. Aku juga menghiasi kolam air terjun ini dengan pancutan air pada bahagian tepi sebelah kiri kolam aku. Itu pun bukan senang hendak buat pancutan air itu sebab perlukan kreativiti.

Pancutan Air
Pam untuk menghasilkan pusingan air itu aku beli yang kecil sahaja tetapi tahan lasak, sudah tujuh tahun aku guna tapi masih tidak rosak. Harganya pun tidak mahal lebih kurang RM 60.00 saja. Aku beli yang kecil sebab aku hanya mahukan pusingan air berlaku dalam keadaan yang perlahan-lahan  supaya mengeluarkan bunyi yang nyaman. Aku bina kolam air terjun ini di  hadapan bilik tidur aku. Jadi pada waktu malam sebelum tidur aku dapat menikmati desiran air terjun dan pancutan air itu. Alangkah sungguh nyaman dan tenteramnya malam-malam aku. Anda bila lagi hendak mencuba buat kolam air terjun sendiri,  kata pepatah Melayu 'kalau ada kemahuan di situ ada jalannya". Buat sendiri kos pun murah dan ikut kreativiti sendiri. Kalau hendak upah orang lain buat, silap-silap boleh cecah ribuan ringgit.  وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Ahad, 21 Julai 2013

Hendak Seribu Daya

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم  Untuk kali ini aku hendak berkongsi pengalaman tentang minatku dalam bidang 'welding'. Sebenarnya aku sikit pun tidak mempunyai pengetahuan tentang kerja-kerja 'welding', tetapi kerana sangat berminat dengan kerja itu aku pun membeli satu set 'welding' dan peralatan lain yang diperlukan seperti penutup mata. Pada beberapa tahun lalu aku membeli alat welding ni lebih kurang RM150 sahaja. Tapi aku rasa sangat berbaloi kerana telah banyak berjasa kepada  aku. Aku memang tidak pernah menggunakan alat ini. Jadi cara penggunaannya pun aku tidak tahu. Aku hanya cuba jaya selepas aku membelinya.

Alat Welding Besi
Peristiwa yang tidak dapat aku lupa pada kali pertama aku guna ialah alat ini langsung tidak berfungsi. Maksudnya selepas aku buka suis alat ini dan menyentuh rod welding kepada besi tidak ada apa-apa pun yang berlaku. Mula-mula aku fikirkan alat ini rosak. Setelah berfikir beberapa minit aku teringat dengan kawan aku yang membuka bengkel welding. Lantas aku pun mencapai motosikal dan terus pergi ke bengkelnya untuk belajar 'welding'. Apabila aku menceritakan kepadanya kejadian itu, dia gelak besar kerana kebodohanku itu. Rupa-rupanya baru aku tahu jika hendak 'welding' wayar satu lagi hendaklah disentuh kepada besi, barulah aliran elektrik akan mengalir. Aku diajar cara 'welding' yang betul oleh sahabatku selama beberapa minit. Terima kasih! kerana sudi menjadi guruku.

Pelindung Muka dan Mata
Alat ini jika kita guna mesti berhati-hati kerana berbahaya jika tidak diambil aspek-aspek keselamatan. Oleh itu, alat pelindung mata di atas mesti digunakan untuk melindungi muka dan mata daripada pancaran api.Selepas aku sudah pandai menggunakan alat itu, aku pun bercita-cita untuk membuat 'awning' di bahagian 'porch' kereta kerana setiap kali hujan sudah pasti akan basah. Aku pun pergi meninjau rumah kawanku yang ada 'awning' untuk aku lihat bentuk pembuatannya. Setelah aku lakarkan saiz besi dan cara susunan besi di 'welding' aku pun mula mengukur keluasan bahagian depan rumah ku untuk menganggar kuantiti pembelian besi. Aku terus membeli dari kilangnya yang terletak di kawasan Perindustrian Tupai.

Setelah aku membeli dan besi dihantar ke rumahku, aku pun memulakan kerja-kerja membuat 'awning' yang sebelum ini tidak pernah aku bayangkan untuk membuatnya sendiri. Lebih kurang sebulan maka siaplah 'awning' pertama aku. Woww! tidak sangka aku boleh melakukannya bak kata pepatah Melayu "hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih". Lihatlah sendiri hasil aku yang pertama ini, ok tak?

Pandangan Dari bawah

Pandangan Tepi
Bahagian Depan
Inilah Rupa Usahaku

Selepas siap 'awning' yang aku cita-citakan aku juga telah membuat pagar rumahku dengan menggunakan besi. Apabila aku congak-congak dari segi kos aku telah dapat menjimatkan perbelanjaanku hasil daripada minat dan hobiku yang berfaedah ini. Bersyukur kepada Allah yang mengurniakan kebolehan dan bakat kepada aku.  وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Inilah Pagar Pertamaku


Usaha Tangga Kejayaan

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم  Setelah aku berjaya memasang jubin di dalam stor, aku mula mempunyai keyakinan untuk melakukan pemasangan seterusnya di bahagian depan rumahku (porch) yang dijadikan tempat meletak kereta. Kerja pemasangan sudah pastinya akan lebih mencabar dan mengambil masa yang lama kerana kawasan yang agak luas. Namun aku bertekad untuk menjayakan misiku seterusnya. Misiku hanya dapat dilaksanakan pada hari Sabtu dan Ahad kerana hari-hari lain aku bekerja untuk cari sesuap nasi menyara keluargaku. Aku mula misiku itu dengan mengukur keluasan 'porch' tersebut untuk menganggar pembelian jubin dan simen.Wow, luasnya iaitu 23 X 30 kaki dan keluasan sisinya ialah 13 X 3 kaki. Oleh kerana  'porch' tersebut dijadikan tempat letak kereta, maka jubin yang tebal dan berkualiti tinggi saja yang sesuai, jika pasang jubin lantai biasa sudah pasti akan pecah. Boleh tahan juga kosnya. Setelah pengiraan dibuat sebanyak 729  keping diperlukan untuk memenuhkan ruangan tersebut dan 9 kampit simen diperlukan. Setelah dikira sebanyak RM1458 diperlukan untuk membeli jubin dan RM108 untuk membeli simen.

Sebelum pemasangan jubin dibuat, lantai sedia ada perlu dipecahkan dan dibuat dasar yang baru supaya kuat dan memudahkan pemasangan. Oleh sebab kerja-kerja itu sangat berat maka aku pun memanggil pekerja Indonesia untuk membuat dasar tersebut. Pekerja tersebut mengambil masa selama satu hari sahaja untuk menyiapkannya dan aku pun memberinya upah yang berpatutan dengan kerjanya. Tetapi masih murah jika dibandingkan dengan tauke Cina. Sebelum aku bercadang untuk pasang sendiri aku pernah bertanya dengan tauke Cina kos untuk memasang jubin di 'porch' tersebut. Pada ketika itu dia hendak lebih kurang RM5000. Aku rasa sangat mahal sebab itulah aku hendak pasang sendiri. Baru puas hati dan boleh pasang ikut selera sendiri. Setelah semuanya siap aku pun membeli jubin berbintik-bintik yang berlainan warna dan jubin berwarna hitam untuk dibuat beberapa corak.

Aku pun mula memaasang jubin dengan semangat yang berkobar-kobar. Hari cuti aku dipenuhi dengan aktiviti memasang jubin. Begitu juga dengan hari-hari bekerja pemasangan dibuat selepas aku balik kerja. Akhirnya setelah bertungkus lumus mengharungi kesukaran dan masalah serta keseronokan selama lebih kurang tiga minggu maka aku pun berjaya menyelesaikan misi aku kali ini. Lihatlah sendiri hasil kreativiti yang aku buat untuk memuaskan hati aku. Puas hati aku kerana berjaya menyelamatkan duit aku lebih kurang RM1500.  وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ




Kotak Letak Kereta

Bahagian Depan

Bahagian Tepi

Pandangan Penuh





Kalau Tak Dipecahkan Ruyung

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم  Pada satu pagi Ahad lebih kurang lima tahun lalu, aku menunggang motosikal bersiar-siar di sekitar kawasan perumahanku. Terasa diri digigit kebosanan lantaran tidak berbuat apa-apa ketika cuti. Lantas mendorong diri untuk memanaskan  enjin motosikal yang sekian lama tidak dinaiki. Aku menunggang perlahan-lahan sambil menikmati pemandangan persekitaran yang mendamaikan sambil memandang-mandang untuk menemukan sesuatu yang menyentuh hatiku untuk memberhentikan motosikalku.

Lantas, sewaktu aku melintasi di satu lorong perumahan yang masih dalam pembinaan terlintas di hatiku untuk melihat kondisi rumah yang baru dibina itu secara lebih dekat. Aku melangkah masuk ke dalam sebuah rumah yang masih belum siap sepenuhnya. Ketika itu aku terpandang dua orang anak muda Cina yang sedang tekun memasang jubin (tile) lantai rumah tersebut.  Aku senyum kepada mereka apabila mereka menoleh kepadaku. Aku mula mendekati mereka sambil bertanya mengenai kerja mereka itu. Kedua-dua anak muda ini melayan pertanyaanku dengan baik.  Aku sangat tertarik dengan kerja itu tetapi sangat asing bagiku sebagai pekerja kolar putih dan makan gaji dengan kerajaan.

Aku tekun melihat pemasangan yang dibuat secara teliti oleh anak muda tersebut. Seorang memasang jubin, manakala seorang lagi membancuh simen  di dalam beberapa timba yang disediakan.  Ketukan terhadap  jubin agar sama dan kukuh mengalunkan irama yang sedap telinga mendengarnya. Aku masih lagi bertanya beberapa perkara tentang cara pemasangan jubin itu yang mendatangkan persoalan di mindaku. Terdetik di hatiku tidaklah susah sangat memasang jubin yang penting ialah ketekunan dan ketelitian di samping kesabaran yang tinggi. Terlintas di fikiranku untuk cuba memasang jubin lantai di dalam stor aku yang masih berlantaikan simen. Namun, terfikir pula aku ketiadaan alatan seperti yang digunakan oleh anak muda Cina itu.  Setelah beberapa jam berada di situ, hati mula dicuit kejemuan dan mula bergerak melangkah keluar sambil mengucapkan terima kasih kerana melayan karenahku tadi. Aku terus mencapai motosikalku dan beredar dari situ untuk balik ke rumah.

Beberapa minggu selepas itu, aku bertekad untuk cuba memasang jubin di dalam stor aku. Aku terfikir untuk melakukan 'try and error' berdasarkan pemerhatian dan pertanyaan aku pada beberapa minggu yang lalu. Aku tidak bimbang jika tidak cantik kerana orang lain tidak akan nampak kerana berada di dalam stor. Bukannya tempat terbuka untuk dipandang oleh orang lain. Aku mula meninjau-ninjau ke dalam stor dan mengambil tali pita untuk menyukat dan mengira jumlah jubin yang perlu dibeli. Aku berfikir-fikir sama ada untuk membeli jubin yang bersaiz satu kaki atau yang besar. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk membeli jbin bersaiz 1 x 1 kaki. 

Aku terus menuju ke keretaku dan  meluncur laju untuk membeli alat-alat yang diperlukan dan juga jubin. Beberapa jam kemudian aku membawa balik beberapa alat seperti pemotong jubin, pemotong elektrik dan sudip serta alat perata. Isteriku melihat dengan senyuman yang manis dan bertanya tujuan pembelian alat tersebut. Aku menjawab ringkas untuk memasang jubin stor sambil membawa keluar alat-alat tersebut dari keretaku.

Alat Pemotong Jubin

Sudip dan Perata Simen
Alat Pemotong Elektrik

Selepas itu aku menunggu tauke kedai untuk menghantar jubin dan beberapa kampit simen ke rumahku. Beberapa jam kemudian kelihatan lori penghantar jubin dan simen tersebut. Aku mula menukar pakaianku untuk memulakan misi cuba jaya memasang jubin kali pertama dalam sejarah hidupku. Pada peringkat awal memang aku menghadapi masalah kerana simen begitu cepat kering menyebabkan aku sukar untuk melekatkan jubin di atas simen. Masalah ini berlaku kerana aku terlupa pesan anak muda Cina dulu bahawa sebelum memasang jubin mesti rendam di dalam air.  Setelah aku merendam jubin di dalam air barulah masalah tersebut dapat diselesaikan.  Pada peringkat mula-mula, pinggangku mula sakit sehingga sukar untuk sembahyang. Tetapi masuk beberapa hari kesakitan itu mula beransur pulih kerana ibarat kata peptah Melayu "alah bisa kerana biasa". Setelah beberapa hari bergelumang dengan pelbagai masalah dan rintangan akhirnya aku berjaya memasang jubin di dalam stor aku. Memang aku akui mustahil pemasangan kali pertama tanpa latihan formal hanya melalui pemerhatian beberapa jam dapat menghasilkan sesuatu yang menakjubkan.  Namun, aku puas hati hasil usahaku sendiri. Aku puas hati percubaanku berjaya dan terlintas di fikiranku orang Melayu pun boleh buat. Lihatlah sendiri hasilnya. Puas hatiku. Horeyyyyyyyyy, aku berjaya. Tahniah! untuk diri sendiri.
 وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Lihatlah! cantik tak?





Travelogku

 Travelogku

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم    TRAVELOGKU merupakan blog yang merakamkan sebahagian daripada perjalanan kehidupanku di dunia ini. Tapi nama blog ini terpaksa dijadikan TREVELOGKU kerana semasa aku hendak mendaftar nama yang aku berkenan itu, nama itu telah dimiliki oleh orang lain. Aku insan biasa yang meniti kehidupan di dunia fana dengan melalui pelbagai rencah pengalaman yang manis dan pahit. Travelogku ini sebahagian daripada rakaman pengalaman yang diabadikan  sebagai tatapan peribadiku dan sesiapa saja yang sudi untuk membacanya. Semoga bicara dalam blog ini tidak akan menyentuh kehidupan  orang lain sebaliknya menjadi perkongsian pengalaman yang dapat memberikan sekelumit faedah dan kebaikan kepada insan yang bernama manusia

Travelogku  lebih bersifat  catatan  mengenai  kerjaya, minat, hobiku dan pengalaman yang dipotretkan sebagai paparan rona-rona kehidupan aku sebagai seorang manusia biasa yang meniti arus kehidupan di dunia yang fana ini. Harapanku semoga Travelogku ini akan mencernakan refleksi diri ke arah menemukan laluan kehidupan yang lebih baik dari sehari ke sehari. Semoga travelog kehidupan yang aku harungi hari ini lebih baik daripada hari kelmarin dan kehidupan hari esok lebih baik daripada hari ini.
 وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ